Himpunan kisah-kisah aneh, misteri, seram dan fenomena paranormal yang berlaku di seluruh pelusuk dunia termasuk di Malaysia. Disediakan Oleh PAGparanormal MALAYSIA

Memaparkan catatan dengan label ALAM ANEH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ALAM ANEH. Papar semua catatan

Selasa, 15 Ogos 2017

KISAH SI PENANGKAP ULAR DAN ALAM GHAIB


Penangkap ular terkenal Abu Zarin Hussin 31, mendakwa mengalami perasaan cemas yang luar biasa ketika menangkap seekor ular tedung selar sepanjang lebih lima meter di sebuah ladang kelapa sawit di Lanchang, di sini kelmarin.

Abu Zarin yang mempunyai banyak pengalaman menangkap pelbagai spesies ular khususnya tedung berkata, ular yang ditangkap di Felda Lakum Rabu lalu mempunyai khadam atau penjaganya.

Menurutnya, ular tedung selar itu berada dalam keadaan lemah dan seperti menyerah diri kepadanya semasa ditangkap dan langsung tidak agresif.

"Walaupun nampak mudah ditangkap tetapi semasa melihat keadaannya dan persekitaran tempatnya ditemui memang saya akui ada rasa gementar dan tahu ia ada penunggu.

"Masa nak tangkap itu saya sudah rasa lain macam, ular tidak agresif seperti ular-ular lain yang pernah saya tangkap," katanya.

Abu Zarin yang bertugas sebagai anggota Bomba dan Penyelamat Bukit Angin di sini berkata, seorang penduduk tempatan yang bersamanya ketika dia menangkap ular itu, demam tiga hari dan mukanya panas.

Menurutnya, ular tedung selar itu dipercayai berusia lebih 10 tahun namun mempunyai badi sehinggakan dia sendiri berasakan sesuatu yang di luar kebiasaan semasa menangkapnya.

Katanya, kekuatan pada ular itu secara fizikalnya seperti sudah tiada tetapi ia masih mempunyai semangat, hinggakan beliau sendiri yang sudah berpengalaman berasa amat gementar semasa menangkapnya.

"Kalau tengok video yang diambil semasa saya menangkap ular ini memang nampak sangat mudah tidak seperti ular lain, tetapi sebenarnya saya dapat rasakan perkara pelik dan saya rasa sangat gementar.

"Mungkin ular ini mahu saya menjaganya. Dalam perjalanan pulang ke balai saya singgah di Klinik Veterinar Kaseh Vet di bandar Temerloh dan doktor memberikan suntikan menambah selera makan ular ini.

"Kalau diikutkan saiz panjangnya memang jarang kita dapat menangkap ular tedung selar sepanjang lebih lima meter ini," katanya.

Abu Zarin berkata, ia ular kedua yang dipercayai mempunyai badi selepas kali pertama dia menangkap ular spesies sama di Muadzam Shah.
Share:

Selasa, 1 Ogos 2017

VIDEO MISTERI PENUMPANG TURUN DARI AEROBRIDGE TANPA PESAWAT


Satu video seram yang memaparkan 'penumpang-penumpang' menuruni jambatan aero (aero bridge) tanpa kelibat pesawat menjadi viral di media sosial apabila dimuat naik kira-kira 3 jam lepas.

Pemuat naik video, Richard Ker memuat naik video berkenaan di Facebook dengan berkata video itu dirakam di sebuah lapangan terbang antarabangsa di Thailand beberapa hari lepas.

Video berkenaan menunjukkan 'penumpang-penumpang' berkenaan berjalan laju menuruni 'pesawat' dengan menaiki jambatan tersebut.

Seorang jurutera bidang penerbangan yang dihubungi oleh Siakap Keli berkata laluan yang dilalui oleh 'penumpang-penumpang' itu dikenali sebagai Aerobrige.

Menurut beliau, Aerobridge adalah jambatan yang menghubungkan penumpang antara pesawat dengan platform sebelum memasuki lapangan terbang.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan video itu namun berkata, sepatutnya ada kelibat pesawat berhampiran dengan Aerobridge itu.

Video yang dimunat naik oleh Richard Ker itu hampir menerima 10,000 perkongsian di Facebook setakat artikel ini ditulis.


Share:

Jumaat, 21 Julai 2017

SEORANG WANITA INDONESIA MENGAKU LAHIRKAN SEEKOR BIAWAK?


Seorang wanita mendakwa melahirkan seekor biawak yang juga kembar kepada anaknya dan kini menjaga haiwan itu seperti anaknya sendiri.

Seha Norma Rasid yang tinggal di Tobulung, Bara, Kota Palopo di Sulawesi Selatan memberitahu, biawak itu lahir bersama anak perempuannya pada 22 November 1989.

Katanya, anak perempuannya dinamakan Masrianty manakala biawak itu dinamakan Mansur.

“Ketika melahirkan Masrianty dan Mansur saya tidak terkejut kerana sebelum ini memang ada keluarga saya melahirkan kembar haiwan,” katanya yang dipetik TribunPalopo.com.

Menurutnya, dia menjaga biawak itu seperti bayi manusia termasuk menyusu haiwan berkenaan.
Share:

Isnin, 10 Julai 2017

PENGHUNI BAHARU TERTANGKAP GAMBAR HANTU BUDAK KECIL


Ini adalah gambar yang diambil disebuah rumah bekas berlakunya kes pembunuhan sebuah ahli keluarga pada 13 November 1974.

Gambar ini diambil selepas rumah ini dibeli oleh pasangan George dan Kathy Lutz. Walaupun telah dimaklumkan tentang apa yang pernah berlaku dirumah ini suatu ketika dahulu, mereka tetap ingin membelinya. 

Dan ini apa yang mereka dapat!
Share:

Ahad, 9 Julai 2017

KISAH BENAR MENGENAI 6 JENIS IBLIS YANG MERASUK ANNELIESE MICHEL


Kisah benar berdasarkan Filem "The Exorcism of Emily Rose (2005)" Remaja 17 tahun Anneliese Michel dikatakan telah dirasuk oleh 6 jenis syaitan pada tahun 1968. 

Anneliese dilaporkan sering menyalak seperti anjing dan juga memakan labah-labah dan burung. 

Beliau menjalankan upacara menghalau syaitan tersebut namun umurnya tidak panjang dan mati selepas upacara itu.

Salah satu babak dalam filem berkenaan dikatakan merupakan rakaman asal ketika upacara menghalau syaitan.


Share:

FOTO HANTU FREDDY JACKSON TERSEBAR LUAS PADA TAHUN 1975


Foto hantu Freddy Jackson?" Diambil pada tahun 1919,foto kumpulan awak Skuadron Goddard yang bertugas dalam perang dunia pertama baru disebarkan secara meluas pada tahun 1975.

Keanehan pada foto ini tampak pada bahagian kiri di sebelah atas, kedudukan keempat dari kiri dimana nampaknya kelibat "hantu Freddy" yang muncul.

Kelibat itu diyakini sebagai roh Freddy Jackson iaitu seorang teknisi Skuadron Goddard yang mati tepat dua hari sebelum foto ini diambil. Acara pemakaman Freddy juga persamaan hari mengambil foto ini.

Anggota Skuadron percaya, sebelum dimakamkan, Freddy kemungkinan besar mahu memberi kenang-kenangan bersama kawan-kawannya.
Share:

Sabtu, 24 Jun 2017

KAMBING LAHIRKAN ANAK MENYERUPAI SEEKOR BABI


Penduduk sebuah kampung di Afrika Selatan kini dihantui perasaan takut selepas seekor kambing biri-biri melahirkan anak menyerupai seekor babi yang dianggap dihantar oleh syaitan.

Hampir 4,000 penduduk kampung Lady Frere di Wilayah Timur percaya ilmu hitam dan hubungan seks dengan haiwan (babi) menjadi punca kelahiran makhluk aneh berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan Jabatan Pembangunan Luar Bandar menghantar pakar selepas gambar anak kambing itu tular di media sosial.

Seorang penduduk berkata, suasana panik menyelubungi kampung itu selepas kelahiran anak kambing itu kerana mereka bimbang sesuatu yang buruk mungkin berlaku.

“Ramai orang tua yang melihat gambar anak kambing itu percaya haiwan berkenaan dihantar oleh syaitan sebagai satu bentuk amaran.
Share:

Rabu, 14 Jun 2017

ADA ORANG SENGAJA BUBUH GAMBAR HANTU KAT SITU..


Di laman sosial heboh sejak Isnin apabila gambar yang dirakamkan penyanyi Wany Hasrita wujud imej wanita berambut panjang di belakangnya dipercayai 'hantu'.

Namun penyanyi Menahan Rindu itu berkata, perkara itu tidak benar dan ia sekadar gurauan pengguna media sosial.

"Mana ada hantu, itu semua mereka sunting sahaja, kalau lihat gambar asal tiada apa-apa pun di belakang saya.

"Gambar itu diambil tahun lalu, entah mengapa baru disunting dan mereka letak imej hantu pula. Tapi saya sudah jelaskan di ruangan komen gambar tersebut supaya peminat tidak mempercayainya," ujar Wany.

Dalam pada itu, Wany berkata, dia tidak mengambil serius perkara berkenaan kerana bukan perkara besar.

Namun dia mengakui bimbang perbuatan suntingan gambar oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan tidak baik.

"Dalam hal ini mereka sengaja ingin bergurau tapi secara jujurnya memang ada rasa bimbang kerana gambar suntingan seperti ini jika disalah guna akan jadi lebih teruk.

"Ia seperti melibatkan kes-kes artis beberapa hari ini yang mana boleh menjejaskan imej mereka," ujarnya.

Share:

KECOH SATU INDONESIA TERAKAM FOTO ENTITI MIRIP ARWAH JULIA PEREZ


MACAM seram aje bunyinya... Iyalah, belum pun genap seminggu pemergian Julia Perez atau Yuli Rahmati, industri hiburan Indonesia dihebohkan dengan berita kelibat yang dikatakan menyamai fizikal aktres popular itu.

Imej tersebut dilihat berada di tengah-tengah kerumunan pihak media yang pada ketika itu sedang menemubual aktres Dewi Perssik.

"Wajahnya putih pucat dengan posisi sedikit menunduk memandang ke lantai kelihatan agak menakutkan", ujar seorang netizen saat gambar tersebut mula tersebar luas di media dalam talian Indonesia.

Biarpun kesahihan tentang berita itu masih belum dapat dipastikan, namun sudah timbul pelbagai ramalan yang bukan-bukan. 

Malah di satu sisi, ada yang meramal ia hanya kelibat manusia biasa yang mempunyai persamaan iras wajah pemilik nama komersil Jupe ini. 

"Kalau benar dia mempunyai persamaan dengan Jupe, pasti pada saat itu dia lebih menjadi perhatian media untuk ditemubual," seloroh seorang netizen.

Pun begitu, dipetik dari akaun @realdeeplovers mereka menyifatkan netizen sengaja mencari ruang untuk mensensasikan sisi tidak baik aktres pujaan mereka itu apatah lagi Julia Perez sebelum ini terkenal dengan lakonannya menerusi filem-filem bergenre seram.

Setelah pelbagai spekulasi timbul, akhirnya hal itu terjawab di mana imej Jupe yang dimaksudkan itu bukanlah entiti misteri sebaliknya seorang wartawan dari sebuah portal di Indonesia yang turut sama datang bertugas menemubual Dewi Perssik.

Saat terdedah kebenaran tersebut, ramai berharap agar perkara seumpama itu tidak lagi berulang menghormati keluarga arwah.

Julia Perez meninggal pada 10 Jun lalu pada usia 37 tahun akibat kanser rahim tahap empat.

Al Fatihah..
Share:

Selasa, 16 Mei 2017

SAINTIS SAHKAN RAKSASA ANEH YANG TERDAMPAR DI PANTAI PULAU SERAM


INDONESIA : KEMUNCULAN mengejut sekujur bangkai makhluk raksasa yang terdampar di sebuah pantai di Indonesia minggu lalu mengejutkan penduduk Pulau Seram.

Sejak beberapa keping gambar raksasa itu mula tular di media sosial, masyarakat mula melontar persoalan seperti; Apa itu? Bagaimana ia sampai ke pulau di Indonesia? Dan adakah kehadirannya ada kaitan dengan perubahan iklim dan tabiat migrasi ikan paus?

Asrul Tuanakota, seorang nelayan berusia 37 tahun, pada mulanya menyangka dia telah menjumpai sebuah bot terkandas di air cetek, menurut Jakarta Globe.

Dia kemudian mengesahkan ia merupakan bangkai reput yang berukuran 50 kaki panjang yang berkelihatan seperti seekor raksasa sotong.

Air pantai yang dibanjiri warna merah akibat pendarahan hidupan laut itu juga tidak menghalang penduduk tempatan untuk mendekatinya dan berswafoto.

Ketua Sainstis di Ocean Conservancy, George Leonard berkata dia ada jawapannya.

Makhluk berkenaan besar kemungkinan adalah bangkai ikan paus baleen.

Kenyataan itu dibuat berdasarkan bahagian tulang yang menonjol yang digunakan untuk menapis makanan oleh haiwan itu.

Seram, pulau terbesar dalam kepulauan Maluku terletak berhampiran dengan laluan migrasi bagi ikan paus baleen, jadi ia bukan satu perkara yang mengejutkan untuk melihat bangkai ikan paus di situ, lapor portal Huffington Post.

Bentuknya yang pelik dikatakan terhasil dari kesan bengkak selepas kematiannya.

Penduduk tempatan telah meminta kerajaan untuk membantu mereka  membuang bangkai tersebut.
Share:

Khamis, 6 April 2017

ADA ORANG HANTAR JENGLOT GUNA POS LAJU MALAYSIA


Curiga melihat beberapa bungkusan pelanggan yang bergerak-gerak ketika diimbas, mendorong pekerja Pos Malaysia membuka bungkusan pelanggannya dan terkejut apabila menemui benda mistik di dalamnya.

Video dan gambar dimuat naik Mohd Zaidi Desa telah ditonton 220,726 kali dan dikongsi 3,388 pengguna Facebook. 

Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi kejadian secara tepat. "Pekerja Pos Laju tengok dok bergerak-gerak bungkusan itu semasa tengah scan. Depa syak ada sesuatu benda hidup dalam tu. Bila buka, memang ada makhluk dalam tu," tulisnya. 

Dalam masa yang sama, netizen turut mempersoalkan apakah kakitangan Pos Malaysia boleh membuka bungkusan pelanggannya. Namun tampil beberapa individu menjelaskan, kakitangan boleh membuka sesebuah bungkusan itu jika bungkusan itu didapati mencurigakan, terlarang, atau tiada dalam terma dan syarat Pos Malaysia. 

Bagaimanapun, ada yang mendakwa ia sekadar replika sahaja. Tidak kurang juga yang mendakwa ia adalah jenglot yang sebenar. 
Share:

Ahad, 2 April 2017

KISAH ASAL TERCIPTANYA PATUNG BERHANTU ANNABELLE


Berita baik bagi semua peminat filem Annabelle! Warner Bros. Pictures baru sahaja melancarkan trailer pertama 'Anabelle: Creation', dibawah arahan David F. Sandberg.

Selepas meraih sambutan yang hebat pada tahun 2014 (filem Annabelle), Warner Bros dan New Line kini kembali dengan sekuel kedua filem bergenre seram ini.
Tidak dapat dinafikan, trailer ini tampil sekali lagi dengan beberapa adegan yang cukup menyeramkan.

Ia dijangka ditayangkan di pawagam mulai 11 Ogos ini.

Filem terbaharu ini dibintangi oleh Stephanie Sigman, Talitha Bateman, Lulu Wilson, Philippa Coulthard, Grace Fulton, Anthony LaPaglia dan Miranda Otto.

Difahamkan, Annabelle:Creation merupakan prekuel kepada filem Annabelle.

Ia mengisahkan tentang kemalangan tragedi yang berlaku kepada seorang kanak-kanak kisah prekuel Annabelle - watak yang sebelum ini diperkenalkan dalam filem The Conjuring.

Cerita ini mengisahkan tentang seorang pembuat patung dan isterinya yang membuat keputusan untuk membuka rumah mereka kepada rahib dan beberapa kanak-kanak perempuan dari sebuah rumah anak yatim yang telah ditutup.

Pada 20 tahun sebelumnya, pasangan itu kehilangan seorang anak perempuan dalam satu kemalangan.

Share:

Jumaat, 24 Mac 2017

PADAH JIKA TERKENA ILMU SIHIR


Kebanyakan kita tahu mengenai sihir, namun masih ramai yang tidak memahami apa sebenarnya disebut sebagai ilmu sihir. Dalam kebanyakan hal berkaitan sihir, ia berpunca daripada perasaan dengki, cemburu, cinta, kasih dan marah serta pelbagai emosi yang sukar dikawal. Dari sisi perubatan Islam, sihir terbahagi kepada sembilan jenis.

1. Sihir pemisah suami isteri (tafriq)

Sihir jenis ini memang secara jelas kewujudannya berdasarkan dalil al-Quran. Allah menerangkan di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 102, yang bermaksud:

“Mereka mempelajari daripada kedua-dua malaikat ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah.”

Antara tanda seseorang itu terkena sihir jenis ini termasuk perubahan tiba-tiba daripada cinta menjadi benci, enggan memohon maaf, timbul keraguan, memperbesarkan perselisihan faham, melihat suami atau isteri dalam rupa menakutkan atau hodoh. Orang yang terkena sihir pemisah ini akan membenci setiap perbuatan yang dilakukan pasangan, tidak betah tinggal bersama dan mudah rasa amat benci.

2. Sihir percintaan

Banyak petanda yang boleh dikesan sekiranya terkena sihir percintaan. Biasanya seseorang itu akan berubah menjadi angau, sukar mengawal perasaan, rindu bayang berlebihan, gelora cinta membuak-buak dan mengikut kata pasangan secara membuta tuli.

3. Sihir pandangan

Mereka melihat benda yang diam seolah-olah bergerak dan sebaliknya, melihat yang kecil menjadi besar dan sebaliknya, nampak sesuatu tidak sebagaimana yang sebenarnya.

4. Sihir buat seseorang menjadi gila

Orang yang terkena sihir ini menjadi bingung, bodoh dan pelupa. Bercakap yang tidak berkaitan, matanya layu, sentiasa resah dan bergerak ke sana-sini, enggan duduk diam, tidak mampu meneruskan pekerjaan tertentu, selekeh, tidak tentu arah dan suka tidur di tempat sunyi.

5. Sihir membuatkan seseorang tidak bermaya

Seorang yang normal akan berubah menjadi pasif, suka berseorangan, memencilkan diri sepenuhnya, diam berterusan, tidak suka bertemu orang, fikiran melayang, selalu pening, lesu dan tidak bermaya.

6. Sihir panggilan

Selalu mengalami mimpi ngeri, mendengar suara yang bercakap kepadanya dalam keadaan jaga tetapi tidak melihat orangnya, kerap waswas, meragukan teman dan orang yang dicintainya, mimpi seakan-akan jatuh dari tempat tinggi atau mimpi melihat haiwan mengejarnya.

7. Sihir membuat penyakit

Kebiasaannya mangsa yang disihir akan menderita penyakit tertentu. Contohnya jika disihir lumpuh maka orang yang terkena sihir akan benar-benar lumpuh. Tanda seseorang yang menjadi mangsa sihir ini termasuk selalu sakit pada salah satu anggota badan, saraf tersumbat, lumpuh salah satu anggota tubuh, lumpuh menyeluruh dan kegagalan fungsi salah satu pancaindera.

8. Sihir pendarahan

Sihir ini berlaku kepada wanita. Tandanya mudah. Seorang perempuan yang terkena sihir ini akan mengalami masalah kedatangan haid yang tidak berhenti-henti, ataupun tempohnya lebih panjang daripada kebiasaan.

9. Sihir menahan pernikahan

Mereka yang terkena sihir ini akan berubah menjadi takut, marah yang sukar dikawal dan lalai. Tanda sihir ini ialah pening yang berterusan, sesak di dada terutama antara waktu Asar hingga tengah malam, fikiran melayang, gelisah ketika tidur, selalu sakit di perut dan sakit di tulang punggung.

Antara rawatan yang disarankan untuk merawat sihir adalah dengan membawa surah al-Fatihah, diikuti ayat Kursi. Kemudian susuli bacaan surah al-Furqan (ayat 23), surah Yunus (ayat 81 hingga 83), surah al-Anbiya (ayat 87), akhir surah al-Mukminun diakhiri surah al-Hashr (ayat 21).

Perlu diketahui juga antara barang yang selalu digunakan dalam menundukkan pasangan ialah:

• Nasi tangas

• Tulang kera duku

• Tulang burung jampok

• Azimat tertentu yang biasanya dibalut kain kuning, hitam, merah

• Beri makan kotoran seperti rambut, debu atau kuku
Share:

Ahad, 5 Mac 2017

PERABIS MODAL UNTUK JADI MAKHLUK ASING TANPA JANTINA


SEORANG lelaki sanggup berhabis AS$50,000 (RM223,000) demi merealisasikan cita-citanya untuk menjadi makhluk asing.

Vinny Ohh, seorang jurusolek dari Los Angeles, Amerika Syarikat telah menjalani lebih 100 pembedahan untuk memastikan hasratnya itu tercapai.

Ohh kini merancang untuk menjalani pembedahan untuk membuang alat sulit dan pusat, selepas menjalani pelbagai prosedur pembedahan wajah.

Dia juga selesa mengenakan kanta lekap berwarna hitam, yang didakwa menonjolkan lagi identiti 'makhluk asing' seperti yang diingininya.


Portal Toronto Sun melaporkan, Ohh yang berusia 22 tahun mula menjalani pembedahan ketika berusia 17 tahun.

"Saya mahu jadi makhluk asing yang tidak berjantina," kata Ohh kepada portal berkenaan.

Ditanya apa yang membuatkan dia tekad berbuat demikian, Ohh memberitahu, ia bermula kerana kegagalannya untuk menyesuaikan diri dengan orang di sekeliling, selain enggan menjadi mangsa jangkaan luar biasa yang biasa ditetapkan dalam masyarakat.

Ohh bakal menjadi sebahagian daripada rancangan The Plastics of Hollywood, yang akan mengetengahkan bakat-bakat mereka yang obses dengan pembedahan plastik.
Share:

Ahad, 26 Februari 2017

HAIWAN ANEH MUNCUL DI PANTAI KERANA ADA PETANDA BURUK BAKAL BERLAKU


Beberapa bangkai ikan dayung gergasi yang digelar ‘perutusan dari laut’ terdampar di tepi pantai di Filipina beberapa hari lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku gempa bumi di negara itu.

Haiwan aneh itu yang biasanya hidup kira-kira 900 meter di dalam laut. Ramai penduduk tempatan dan sejumlah saintis percaya ikan yang juga dikenali sebagai ‘ular laut’ itu dihanyutkan ke tepi pantai oleh arus kuat sebelum gempa bumi.

Ada beberapa kejadian seperti itu berlaku sebelum ini. Bangkai seekor ikan itu ditemui di pantai di Agusan del Norte di Filipina beberapa hari sebelum gempa bumi melanda Mindanao 11 Februari lalu.

Lima lagi bangkai ikan dayung ditemui di kawasan pantai beberapa hari selepas gempa 6.3 magnitud itu.

Lapan orang terbunuh dan 200 cedera dalam kejadian itu, sekali gus mencetuskan perbahasan di media sosial mengenai kaitan antara haiwan berkenaan dengan bencana alam itu.

Bangkai ikan dayung terbaru ditemui Sabtu lalu di pantai di bandar Cagayan de Oro, sepanjang 4.57 meter.

Pakar seismologi di Jepun menggelar ikan dayung sebagai ‘Perutusan dari Istana Tuhan Laut’ dan percaya ia tanda gempa bumi akan berlaku, menurut National Geographic.
Share:

Rabu, 15 Februari 2017

THE EXORCIST, FILEM ASAL DAN TERBARU YANG MANA LEBIH MENYERAMKAN?


Menjenamakan kembali sesebuah filem yang begitu kuat pengaruhnya seperti The Exorcist yang popular pada 1971 kepada drama bersiri boleh menjadi jerat buat penerbitnya.

Bagaimanapun, pencipta siri The Exorcist, Jeremy Slater ada jalan tersendiri mahu menjayakannya.

The Exorcist yang akan ditayangkan setiap Khamis bermula esok, jam 11 malam di saluran KIX HD (Astro 729) sememangnya satu naskhah yang ditunggu-tunggu.

Pada masa sama, bukan sebarangan orang boleh melunaskannya dengan bagus.

Apatah lagi cerita itu sendiri merungkai mengenai dunia makhluk halus yang sering kali dikaitkan dengan agama.

Dalam siri ini, mazhab Katolik dalam agama Kristian cukup dekat dikaitkan dengan cerita itu menerusi kehadiran watak paderi.

Melakonkan watak paderi iaitu Tomas Ortega, pelakon kelahiran Mexico, Alfonso Herrera, 33, mengakui pada awalnya dia tidak pasti mahu terbabit dengan siri itu.

Ini kerana baginya, cerita membabitkan makhluk halus dan keagamaan bukanlah boleh dibuat main-main.

“Apabila saya dapat tahu siri itu bakal diterbitkan, saya tidak rasakan ia satu idea yang bagus. Bukan mudah untuk tampil dengan karya yang menyentuh sensitiviti keagamaan dan berkaitan syaitan.

“Namun, apabila saya sudah membaca skrip untuk episod pertamanya, barulah saya faham kenapa Jeremy mahu menghasilkan cerita itu dan saya terus bersetuju dengan tawaran itu,“ katanya.

Bagaimanapun, faktor utama yang menarik Herrera untuk melakonkan watak berkenaan kerana ia mengangkat bangsanya sebagai orang Latin.

“Saya tertarik dengan watak itu kerana jalan ceritanya selain barisan pelakon lain yang hebat-hebat belaka. Selain itu, saya dapat melakonkan watak lelaki Mexico yang berada dalam lingkungan komuniti orang Amerika. Bagi saya, itu tidak klise,“ katanya.

Herrera berkata, dia juga sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan individu hebat dalam siri berkenaan seperti pengarahnya, Rupert Wyatt serta pelakon seperti Geena Davis dan Ben Daniels.

Turut berlakon dalam siri ini, Hannah Kasulka, Brianne Howey, Alan Ruck dan Mouzam Makkar.

Bercerita lanjut mengenai siri itu, Herrera berkata, dia turut mengalami kesukaran untuk mendalami wataknya, lebih-lebih lagi apabila dia sendiri tidak pernah mengalami atau menyaksikan kejadian orang dirasuk makhluk halus.

“Saya tidak pernah ada pengalaman itu. Saya sendiri membesar sebagai Katolik dan pernah cuba bercakap dengan kesatuan Katolik di Mexico.

“Memang sangat susah untuk mendapatkan maklumat daripada mereka dan terpaksa melakukan kajian sendiri. Saya dan Ben Daniels terpaksa berkongsi maklumat kerana dia sendiri pun cuba mendapatkannya daripada pelbagai sumber,” katanya.

Watak menjadi kekuatan

Tidak dinafikan, dalam menjadikan siri berkenaan lebih hidup dan menarik, pelbagai elemen seperti drama keluarga, politik dan kepercayaan perlu diselitkan.

Apapun, bagi Herrera, kekuatan sebenar terletak pada permainan watak itu sendiri.

“Secara positifnya, watak dalam siri itulah yang menjadi tunjang utama The Exorcist. Kejayaan sesebuah cerita seram apabila wataknya begitu kuat selain jalan cerita yang kukuh.

“Itulah sebenarnya yang cuba ditekankan pencipta siri itu,” katanya.

Pasti ramai yang akan membandingkan siri ini dengan filem asal lakonan Linda Blair terutama tahap keseramannya.

Bukan itu saja, jalan ceritanya tentu akan dipersoalkan sama ada masih mengikut konsep asal atau tidak.

Ditanya mengenai perkara itu, Herrera berkata, versi kali ini amat seram dan dia yakin penonton akan berpuas hati.

“Kami harus menghormati cerita asalnya. Jadi, kami perlu memahami bagaimana cerita itu terjadi dan gambarkannya mengikut keadaan sekarang selepas beberapa tahun.

“Ia juga menekankan elemen psiko dan berdasarkan episod yang kami sudah siapkan setakat ini, ia memang sangat menyeramkan. Saya yakin penonton di Indonesia dan Malaysia pasti akan suka,” katanya.

The Exorcist mengisahkan dua paderi cuba membantu keluarga Rance mengenai gangguan pelik di rumah mereka.

Rumah mereka seperti didiami sesuatu yang tidak diketahui dan kejadian pelik serta menakutkan menjadi-jadi setiap hari.
Share:

WANITA NIGERIA LAHIR ANAK KAMBING?


Seorang wanita dilaporkan melahirkan bayi serupa kambing selepas hamil dua tahun, lapor media Nigeria. Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu dilaporkan hamil sejak dua tahun lalu.

Dia dikatakan pergi ke Pusat Pusat Komuniti untuk mendapatkan bantuan rawatan percuma tetapi melahirkan kandungannya di situ, makhluk seperti anak kambing.

Orang ramai turut datang melihat kejadian itu sementara media tempatan menyiarkan gambar haiwan seperti kambing terbaring penuh dengan darah di atas lantai di luar pusat berkenaan. Kejadian dilaporkan berlaku di Port Harcourt, Nigeria.
Share:

Selasa, 7 Februari 2017

JANGAN ANGGAP `MEROYAN` ITU PERKARA BIASA..


KELANTAN : “Benda tu suruh aku buat,” itu ayat yang berulang kali diluahkan suspek berusia 32 tahun yang dipercayai mengelar bayinya berusia dua bulan 19 hari dengan pisau pemotong sayur di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.45 petang, Nur Areesa Sofea Jiri ditemui mati di atas tilam di ruang tamu rumah berkenaan dengan kecederaan di bahagian kiri leher.

Ketika kejadian, suami suspek dikatakan keluar membeli makanan di kedai berhampiran sebelum dimaklumkan kejadian itu.

Rakan suspek yang mahu dikenali sebagai Lin, 32, berkata, selepas kejadian, dia sempat menemui wanita itu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini.

Katanya, ketika ditemui, rakannya itu dilihat masih meracau dan mencari anaknya.

“Dia bertanya kepada saya beberapa kali di mana Areesa kerana mahu menyusukannya sebaik terdengar suara bayi menangis di hospital itu sebelum saya memberitahunya akan membantu menyediakan susu untuk anaknya itu.

“Kemudian dia menjawab, ‘benda tu suruh aku buat ko (kepada) Areesa’ sebelum dia dirujuk ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, beberapa jam sebelum kejadian, rakannya itu mengadu masalah untuk menjaga bayinya menerusi aplikasi WhatsApp bekas rakan sekolah.

“Dia kata, anaknya itu sering meragam dan tidak mahu menyusu botol menyebabkannya berasa tertekan.

“Saya bersama rakan lain menasihatkannya supaya bersabar dan berkongsi tip penjagaan bayi,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu menerusi seorang lagi rakan.

“Saya terkejut kerana tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku.

“Apa pun saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

AL-FATIHAH..
Share:

Sabtu, 4 Februari 2017

TEMPAH PENDINDING DIRI DARI SEBERANG


Sawat buaya, mani gajah, sepasang taring dan kuku harimau antara organ haiwan yang dilindungi mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 yang dijual seorang lelaki warga Indonesia kepada penduduk di negeri ini.

Organ haiwan itu dijual dengan harga RM151 hingga RM331 dan didakwa dibawanya sendiri dari Indonesia dengan menai- ki feri dari Pulau Batam masuk ke negara ini.

Warga Indonesia yang hanya ingin dikenali dengan panggilan Man itu mendakwa organ haiwan yang dijualnya itu mempunyai pelbagai khasiat termasuk mampu menjadi pendinding diri dan menguatkan tenaga batin.

“Sepasang taring harimau itu diperoleh daripada harimau yang mati selepas tewas dalam pertempuran dan ia memang sukar diperoleh.

“Mereka yang memiliki taring ini akan menjadi pendinding diri, malah menyebabkan dia digeruni musuh,” katanya ketika ditemui berniaga barangan itu di Jalan Sultan Ismail, semalam.

Menurutnya, dia juga menjual sepasang taring harimau dengan harga RM331, sementara sawat buaya untuk memulihkan masalah tenaga batin lelaki termasuk mati pucuk dengan harga RM251.

“Semua barangan yang dijual akan dikenakan pengeras RM1. Justeru, jika harga sesuatu anggota RM150 pelanggan perlu membayar RM151.

“Pengeras itu bertujuan untuk memastikan barangan yang dijual mujarab untuk digunakan dan khasiatnya akan benar-benar berfungsi,” katanya.

Bercerita mengenai sawat buaya katanya, organ itu mempunyai dua kategori iaitu sawat buaya teruna dan sawat buaya matang.

“Sawat buaya itu digunakan secara tradisional di Indonesia untuk pulihkan masalah berkaitan tenaga batin dengan cara merebusnya sebelum airnya diminum.

“Mani gajah pula digunakan secara tradisional sebagai pengikat kasih sayang antara suami isteri,” katanya.

Menurutnya, dia juga menawarkan minyak lintah, tongkat ali dan pelbagai jenis cincin termasuk cincin bertatahkan permata marjan, batu mani gajah dan batu mata burung cendawasih.

“Saya akan menjelajah ke seluruh negeri untuk menjual semua barangan sebelum kembali semula ke tempat asal,” katanya.

Ketika diberitahu semua organ haiwan yang dibawanya itu menyalahi undang-undang perlindungan hidupan liar di negara ini, Man mendakwa dia mengetahui mengenainya tetapi berani menjualnya kerana semuanya itu dibawa dari negaranya bukan hasil daripada haiwan di Malaysia.

Menurutnya, dia tahu memburu haiwan liar terutama buaya dan harimau menyalahi undang-undang di negara ini serta menafikan pembabitannya dalam kegiatan pemburu haram.

“Saya tidak memburu haiwan di negara ini. Saya hanya menjual organ binatang yang dibawa dari Indonesia kerana di tempat kami, ia menjadi amalan penduduk setempat menggunakannya sebagai perlindungan,” katanya.
Share:

Isnin, 30 Januari 2017

TUJUH HARI HILANG DALAM HUTAN DITEMANI SESEORANG??


BUKIT BROGA : Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 20, yang ditemui selamat semalam, selepas hilang selama tujuh hari di Bukit Broga 'dijaga' seseorang.

Bapa saudaranya, Ahmad Saad, 59 berkata, Azarul ada memberitahunya dia dijaga seseorang ketika kehilangannya di Bukit Broga.

"Namun dia (Azarul) tidak mendedahkan siapa dan bagaimana orang yang menjaganya itu, dia hanya memberitahu makan buah hutan dan minum air terjun untuk kelangsungan hidup.

"Keadaannya kini bertambah baik dan kami berharap dia dapat dibenarkan pulang dalam masa terdekat dan akan membawanya pulang ke Kedah," katanya ketika ditemui di Hospital Kajang di sini, hari ini.

Mohd Azarul sebelum ini hilang selama tujuh hari selepas mendaki Bukit Broga pada 22 Januari lalu.

Dia bagaimanapun berjaya ditemui empat pendaki termasuk dua warga Britain pada jam 9.30 pagi dalam keadaan keletihan serta berkaki ayam kira-kira 250 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Share:
PAGparanormal Malaysia ©. Dikuasakan oleh Blogger.
BLOG INI MEMAPARKAN KISAH-KISAH ANEH, PELIK, MISTERI DAN FENOMENA PARANORMAL
Official Blog Of 'PAGparanormal Malaysia' known as Pengembaraan Alam Ghaib Crew or Journey To The Unknown Crew ™

Attention!! Many paranormal investigators believe there are real dangers of a spiritual nature that ghost hunting groups should be aware of.It seems that ghost hunting has become quite a popular endeavor over the last several years. Whether it be a historic location, public venue or a private residence, what could be more exciting than going to a supposed haunted location to seek out the paranormal? Some people say cemeteries are very notorious for sightings of spirits, and many people hoping to get a thrill by going to such places to catch a glimpse these spirits, ghosts or entities.

(When we are investigating, we are always looking out for causes for the activity; but we should always be on alert for dangers that are present around us, both seen and unseen). PAGparanormal Malaysia ©


KNOWING US

Propellerads

Total Pageviews

Facebook Followers

Rakan Blog