INDONESIA : KEMUNCULAN mengejut sekujur bangkai makhluk raksasa yang terdampar di sebuah pantai di Indonesia minggu lalu mengejutkan penduduk Pulau Seram.
Sejak beberapa keping gambar raksasa itu mula tular di media sosial, masyarakat mula melontar persoalan seperti; Apa itu? Bagaimana ia sampai ke pulau di Indonesia? Dan adakah kehadirannya ada kaitan dengan perubahan iklim dan tabiat migrasi ikan paus?
Asrul Tuanakota, seorang nelayan berusia 37 tahun, pada mulanya menyangka dia telah menjumpai sebuah bot terkandas di air cetek, menurut Jakarta Globe.
Dia kemudian mengesahkan ia merupakan bangkai reput yang berukuran 50 kaki panjang yang berkelihatan seperti seekor raksasa sotong.
Air pantai yang dibanjiri warna merah akibat pendarahan hidupan laut itu juga tidak menghalang penduduk tempatan untuk mendekatinya dan berswafoto.
Ketua Sainstis di Ocean Conservancy, George Leonard berkata dia ada jawapannya.
Makhluk berkenaan besar kemungkinan adalah bangkai ikan paus baleen.
Kenyataan itu dibuat berdasarkan bahagian tulang yang menonjol yang digunakan untuk menapis makanan oleh haiwan itu.
Seram, pulau terbesar dalam kepulauan Maluku terletak berhampiran dengan laluan migrasi bagi ikan paus baleen, jadi ia bukan satu perkara yang mengejutkan untuk melihat bangkai ikan paus di situ, lapor portal Huffington Post.
Bentuknya yang pelik dikatakan terhasil dari kesan bengkak selepas kematiannya.
Penduduk tempatan telah meminta kerajaan untuk membantu mereka membuang bangkai tersebut.
0 comments:
Catat Ulasan