Sawat buaya, mani gajah, sepasang taring dan kuku harimau antara organ haiwan yang dilindungi mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 yang dijual seorang lelaki warga Indonesia kepada penduduk di negeri ini.
Organ haiwan itu dijual dengan harga RM151 hingga RM331 dan didakwa dibawanya sendiri dari Indonesia dengan menai- ki feri dari Pulau Batam masuk ke negara ini.
Warga Indonesia yang hanya ingin dikenali dengan panggilan Man itu mendakwa organ haiwan yang dijualnya itu mempunyai pelbagai khasiat termasuk mampu menjadi pendinding diri dan menguatkan tenaga batin.
“Sepasang taring harimau itu diperoleh daripada harimau yang mati selepas tewas dalam pertempuran dan ia memang sukar diperoleh.
“Mereka yang memiliki taring ini akan menjadi pendinding diri, malah menyebabkan dia digeruni musuh,” katanya ketika ditemui berniaga barangan itu di Jalan Sultan Ismail, semalam.
Menurutnya, dia juga menjual sepasang taring harimau dengan harga RM331, sementara sawat buaya untuk memulihkan masalah tenaga batin lelaki termasuk mati pucuk dengan harga RM251.
“Semua barangan yang dijual akan dikenakan pengeras RM1. Justeru, jika harga sesuatu anggota RM150 pelanggan perlu membayar RM151.
“Pengeras itu bertujuan untuk memastikan barangan yang dijual mujarab untuk digunakan dan khasiatnya akan benar-benar berfungsi,” katanya.
Bercerita mengenai sawat buaya katanya, organ itu mempunyai dua kategori iaitu sawat buaya teruna dan sawat buaya matang.
“Sawat buaya itu digunakan secara tradisional di Indonesia untuk pulihkan masalah berkaitan tenaga batin dengan cara merebusnya sebelum airnya diminum.
“Mani gajah pula digunakan secara tradisional sebagai pengikat kasih sayang antara suami isteri,” katanya.
Menurutnya, dia juga menawarkan minyak lintah, tongkat ali dan pelbagai jenis cincin termasuk cincin bertatahkan permata marjan, batu mani gajah dan batu mata burung cendawasih.
“Saya akan menjelajah ke seluruh negeri untuk menjual semua barangan sebelum kembali semula ke tempat asal,” katanya.
Ketika diberitahu semua organ haiwan yang dibawanya itu menyalahi undang-undang perlindungan hidupan liar di negara ini, Man mendakwa dia mengetahui mengenainya tetapi berani menjualnya kerana semuanya itu dibawa dari negaranya bukan hasil daripada haiwan di Malaysia.
Menurutnya, dia tahu memburu haiwan liar terutama buaya dan harimau menyalahi undang-undang di negara ini serta menafikan pembabitannya dalam kegiatan pemburu haram.
“Saya tidak memburu haiwan di negara ini. Saya hanya menjual organ binatang yang dibawa dari Indonesia kerana di tempat kami, ia menjadi amalan penduduk setempat menggunakannya sebagai perlindungan,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan