Sekumpulan pengamal perubatan alternatif mendakwa berjaya menangkap kesemua ‘jin’ yang mendiami Masjid Baru Tedong.
Mereka mendakwa ada dalam kalangan jin berkenaan telah menghuni kawasan sekitar masjid itu sejak 400 juta tahun lalu.
Sa'ad Jaafar, 49, salah seorang pengamal perubatan terbabit menolak dakwaan pergerakan penghadang di masjid berkenaan berpunca daripada tiupan angin. Sebaliknya dia yakin ia angkara perbuatan jin.
“Apabila telah viral video mengenai penghadang yang bergerak itu, dan kemudian pengerusi masjid ini telah memohon bantuan sesiapa yang ada kemampuan atau ilmu untuk bantu sama, maka apa yang telah saya belajar jadi saya (gunakan) untuk membantu,” ujarnya.
Jelas Sa’ad, dia yang dalam perjalanan untuk pulang ke kampung telah singgah ke masjid itu, untuk memanfaatkan ilmunya dan memberikan bantuan.
“Saya kepung, dan kami tangkap (entiti) supaya jemaah ini tahu apa yang berlaku sebenarnya. Kita telah kenal pasti penghadang yang bergerak ini (angkara) jin yang menolaknya. Tujuannya adalah untuk menakutkan dan mengganggu manusia,” jelasnya lagi.
Dia yang hadir bersama anak keduanya, Uwais Al-Qarni Sa'ad, 16, juga sempat mengadakan sesi ‘perbualan’ bersama ketua ‘jin’ yang ditangkap dan disaksikan beberapa jawatankuasa masjid.
Katanya, hasil perbualan menggunakan anaknya sebagai pengantara itu, ketua ‘jin’ tersebut mengaku telah menggerakkan papan penghadang yang beratnya dianggarkan mencecah 20 kilogram itu.
Sa'ad yang merupakan anak jati Melaka mendakwa sudah mengamalkan kaedah perubatan ini sejak empat tahun lalu.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Masjid Tedong, Datuk Akbar Ali berkata, pasukan perubatan ini datang atas inisiatif mereka sendiri tanpa dipelawa oleh pihaknya.
“Dia datang tanpa meberitahu kami,. Kami pun sebagai pihak masjid tidak patut lah buat sesuatu yang kurang elok terhadap beliau. Kita anggap niat beliau itu baik, tapi saya tegaskan, dia datang bukan atas undangan tapi secara sukarela.
“Perkara ini juga saya tak berani nak komen lebih sebab saya pun tak faham ilmu mistik. Cuma saya fikir elok saya berpegang balik pada saranan Ketua Menteri iaitu kita serahkan pada pihak berkuasa,” ujar beliau.
Pada Sabtu , Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menolak kemungkinan kaitan ‘makhluk halus’ yang dikatakan menggerakkan papan penghadang solat itu dan mendakwa ia berpunca daripada faktor angin.
0 comments:
Catat Ulasan