RANAU 6 Jun - Kejadian gempa bumi khususnya di Gunung Kinabalu yang mengorbankan beberapa nyawa dikatakan sebagai sumpahan si penunggu gunung.
Dalam kalangan malim gunung, mereka percaya sumpahan itu memuncak ekoran tindakan biadab sekumpulan pelancong Eropah yang berbogel di puncak gunung itu pada 31 Mei lalu.
Bagi mereka terutama penduduk setempat, Gunung Kinabalu merupakan kawasan suci yang menjadi tempat persemadian roh nenek moyang kaum Kadazandusun dan tidak boleh dicemari perbuatan tidak senonoh.
Seorang malim gunung, Suhaikan Guhai, 35, memberitahu, semangat gunung merupakan perkara utama dalam masyarakat Kadazandusun memandangkan mereka percaya kepada maksud Kinabalu itu sendiri.
Jelasnya, Kinabalu adalah pecahan perkataan ‘Aki Nabalu’ iaitu ‘Aki’ bermaksud nenek moyang dan ‘Nabalu’ pula bermaksud gunung.
“Jangan kau (kamu) sesekali buat tidak senonoh di gunung ini. Ini tempat suci,” katanya yang ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.Semalam, gempa bumi sekuat 5.9 pada skala Richter menggegarkan bumi Sabah.
Gegaran paling teruk dirasai di Gunung Kinabalu dengan laluan utama pendakian musnah akibat runtuhan batu-batu besar.
Suhaikan percaya, setiap perbuatan tidak senonoh di puncak Kinabalu akan mengundang marah si penunggu gunung yang menjaga kesucian gunung itu.
Kenyataan beliau itu disokong seorang lagi malim gunung, Junaidi Sihan, 37, yang sentiasa menekankan sikap hormat-menghormati kepada pendaki sepanjang pendakian ke Gunung Kinabalu.
“Jangan cakap besar, jangan petik tumbuhan, jangan ambil batu gunung. Tetapi kalau sudah sampai berani berbogel, ini telah melanggar kesucian gunung, telah langgar pantang larang.
“Saya beragama Islam tetapi sentiasa diingatkan amalan menghormati persekitaran Gunung Kinabalu,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan