Gara-gara mendakwa mendapat arahan daripada suara ghaib, seorang anak bertindak kejam apabila memukul ibunya menggunakan batang cangkul sehingga mati di Batu 8, Jalan Kuantan-Gambang, di sini.
Lelaki berusia 20 tahun itu melakukan perbuatan berkenaan kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, Hamidah Mat Zin, 47, berehat di ruang tamu rumahnya.
“Sebelum itu, anaknya dikatakan meracau seorang diri sebaik memasuki ruang tamu rumah itu sebelum bertindak ganas memukul kepala ibunya bertubi-tubi.
“Difahamkan, lelaki itu melarikan diri sejurus kejadian. Anak saudara mangsa yang kebetulan singgah di rumah berkenaan kemudian terlihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Abdul Aziz berkata, saksi kejadian itu kemudian membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum meninggal dunia sekitar jam 9.30 pagi semalam.
Menurutnya, anak saudara mangsa itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading di sini.
“Polis berjaya menahan suspek yang berada di rumah itu kira-kira dua jam selepas kejadian.
“Berdasarkan laporan siasatan awal, suspek mengalami masalah mental sejak berusia 16 tahun dan mendakwa sering mendengar suara ghaib. Dia mendakwa suara ghaib itu mengarahkannya memukul ibu sehingga mati,’ katanya.
Abdul Aziz berkata, mangsa bekerja sebagai pekerja am di Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad, di sini.Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian.
Abdul Aziz berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya sudah merampas kayu cangkul dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
Katanya, suspek kini ditahan reman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
0 comments:
Catat Ulasan