Bunyi ketukan pintu misteri yang berlaku di daerah Sabak Bernam sejak seminggu lalu, masih tidak menunjukkan tanda bakal berhenti apabila gangguan itu masih berterusan hingga menakutkan penduduk.
Difahamkan, gangguan ketukan yang sebelum ini berlaku di beberapa kampung, kini berlaku di dua taman perumahan dan rumah petugas kesihatan.
Penduduk Taman Cahaya 2, Sungai Besar, Syed Amir Syed Azizi, 16, berkata, kejadian sama dialami ketika dia berada di dapur rumahn bersama kakaknya kira-kira 8.30 malam tadi.
"Waktu itu, saya dan kakak baru selesai memasak. Tiba-tiba, saya ternampak kelibat seseorang di tingkap.
"Tidak lama selepas itu, terdengar bunyi ketukan pintu yang laju seolah seseorang mahu masuk ke dalam rumah dengan cepat.
"Seluruh keluarga terdiam seketika apabila mendengar bunyi ketukan itu. Saya beranikan diri keluar dan pergi ke belakang rumah untuk melihat siapa yang mengetuk pintu. Ternyata, tiada siapa di situ," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Kata Syed Amir, dia mengetepikan perasaan takut kerana memikirkan keselamatan keluarga dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.
"Saya tak pasti siapa yang lakukan perkara (ketukan pintu) itu. Yang pasti, kejadian ini pertama kali berlaku dan harap ia tidak berulang kembali," katanya.
Sementara itu petugas kesihatan Klinik Desa Sungai Burong, Sungai Besar, Siti Nur Ain Remli, 27, berkata, dia mendengar bunyi seakan ketukan besi mesin basuh di dapur rumahnya, kira-kira 1 pagi tadi.
"Bunyi ketukan itu berlangsung selama lima minit. Kemudian, ia bersambung pula dengan ketukan pada pintu kayu dapur.
"Khuatir ada individu tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan, saya menghubungi pihak polis dan mereka datang meronda kira-kira 1.30 pagi," katanya.
Dia berkata, suaminya, Mohammad Aminuddin Abd Rahman, 27, turut mendengar bunyi seakan ketukan besi mesin basuh itu.
Sementara itu, Pengerusi Taman Budi, Batu 40, di sini, Abu Hasan Ashari, berkata, seorang penduduk di taman itu menerima gangguan ketukan itu kira-kira 12.45 tengah malam tadi.
"Sebelum ketukan itu terjadi, berlaku gangguan bekalan elektrik di perumahan ini kira-kira 11.24 malam tadi dan pulih pada 12.15 tengah malam.
"Kira-kira 30 minit kemudian, dia (penduduk) memaklumkan di dalam kumpulan WhatsApp pintu belakang rumahnya diketuk sebanyak dua kali," katanya.
Kata Abu Hasan, susulan kejadian itu, pihaknya mengetatkan lagi rondaan di taman perumahan terbabit bermula waktu malam hingga awal pagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba menakutkan penduduk susulan kejadian itu.
"Mereka yang melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan kerana mengundang ketakutan dan kegusaran kepada orang awam.
"Individu atau pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atau Seksyen 13(1)(c) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.
ABAM BOCEY INSAN LUAR BIASA
-
“KERANA dia, rezeki saya melimpah ruah. Atas nasihat dia juga, saya kini
memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan perniagaan untuk anak-anak
yatim,...
0 comments:
Catat Ulasan