JOGJAKARTA: Demam batu akik yang melanda sebahagian masyarakat Indonesia kini tidak terkawal lagi.
Nilai ekonomi batu berkenaan yang kian melambung mendorong sebahagian penduduk negara itu tidak dapat berfikir secara rasional.
Kerana ingin meraih keuntungan segera, mereka sanggup menceroboh tanah perkuburan untuk mencuri batu nisan yang dibuat daripada batu itu seperti yang berlaku pada kubur seniman Sapto Hudoyo dan Bagong Kussudiardja di daerah Bantul.
Perbuatan mencuri batu nisan di kubur Bagong di sedari anaknya Djaduk Ferianto kelmarin, sehari selepas kehilangan batu itu di kubur Sapto.
“Sebaik mendengar berita mengenai kehilangan batu nisan Sapto, saya ke kubur bapa saya. Jelas, batu nisan bapa saya juga hilang selepas dicungkil pencuri,” kata Djaduk.
Menurutnya, batu itu dibeli bapanya di Pacitan sebelum meninggal dunia dengan harga Rp5 juta (RM1,427).
“Bapa saya berpesan supaya batu itu dijadikan nisannya apabila dia meninggal dunia,” kata Djaduk.
Sementara itu, kehilangan batu akik di kubur Sapto Hudoyo disedari penjaga tanah perkuburan di Desa Imogiri, Djamhari.
Menurutnya, terdapat dua batu akik jenis kecubung berukuran sebesar buah kelapa diletakkan di kubur bekas seniman itu.
“Saya sedari batu itu tidak ada lagi di kubur Sapto. Saya tidak tahu jenisnya. Selepas melaporkan kehilangan batu nisan itu, ada orang memberitahu saya tahu ia akik jenis kecubung,” katanya.
PENJAGA tanah perkuburan menunjukkan keadaan kubur Sapto selepas batu nisannya dicuri.
Gambar ini dipercayai tempat penjualan batu akik curi.
0 comments:
Catat Ulasan