Sepang: Kehadiran seorang wanita berpakaian serba putih dan bertopeng menarik perhatian orang ramai di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, apabila dia dilihat berdiri kaku berhampiran kain rentang ‘mesej harapan’ terhadap penumpang pesawat MH370, semalam.
Wanita terbabit, Safirah Rashid, 28, yang juga artis seni halimunan mendakwa tindakan dilakukannya itu adalah simbolik tanda sokongannya terhadap penumpang dan kakitangan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Katanya, seni halimunan itu adalah salah satu cara dia menzahirkan harapan rakyat Malaysia supaya pesawat yang ‘ghaib’ itu dapat ditemui semula secepat mungkin.
“Ini adalah satu seni yang lain daripada kebiasaan.
Saya mahu menzahirkan harapan mewakili rakyat Malaysia dan mungkin juga masyarakat seluruh dunia.
“Seni halimunan ini juga akan memberi gambaran kepada kemunculan semula pesawat MH370 yang hilang bersama penumpang dan anak kapal dengan selamat,” katanya ketika ditemui di anjung tinjau KLIA, di sini, semalam.
Sementara itu, pelukis artis halimunan Tony Mdy, 35, berkata, dia mengambil masa hampir tiga jam untuk menyiapkan pakaian dan topeng halimunan berkenaan.
Katanya, seni halimunan yang ditonjolkan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu memberi ketenangan dan menceriakan ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam misteri kehilangan pesawat MH370.
Sumber-myMetro