Himpunan kisah-kisah aneh, misteri, seram dan fenomena paranormal yang berlaku di seluruh pelusuk dunia termasuk di Malaysia. Disediakan Oleh PAGparanormal MALAYSIA

Selasa, 28 Julai 2015

ALAM ANEH ALAM MISTERI, GEREJA TENGKORAK


Sekali lihat, umpama set filem Pirates of the Caribbean. Osuari Sedlec di Republik Czech dianggarkan mempunyai 40,000 hingga 70,000 tengkorak manusia yang kebanyakannya mati akibat wabak pada 1318 serta Perang Hussite pada kurun ke-15.

Digelar ‘Gereja Tengkorak’ bangunan itu dihiasi tengkorak yang dibersihkan sebelum disusun supaya kelihatan menarik termasuk cawan dan candelier. Malah ada juga lambang keluarga yang dibentuk menggunakan sisa tengkorak.

Lokasi di bawah sebuah gereja itu juga mempamerkan ‘panji-panji’ diperbuat daripada tengkorak yang disusun cantik di celah cawan besar, kaki lilin dan piramid yang semuanya diperbuat daripada tulang manusia.

Candelier utama dihasilkan menggunakan hampir setiap jenis tulang dalam badan manusia, termasuk tujuh cabang diperbuat daripada tulang belakang manakala tengkorak dijadikan tempat meletakkan lilin. Reka bentuknya dikatakan membayangkan haiwan berkepala tujuh sama seperti dinyatakan dalam Bible.

Kisah di sebalik ‘Gereja Tengkorak’ juga agak menggerunkan. Semua tengkorak itu dikatakan diperoleh daripada perkuburan gereja itu yang ditutup pada akhir kurun ke-15. Pada 1870, tukang kayu Frantisek Rint ditugaskan menggunakan tulang berkenaan sebagai hiasan.

Untuk memastikan warna hiasannya seragam, dia memutihkan setiap satu daripadanya menggunakan peluntur.

Walaupun pelik, Osuari Sedlec bukannya satu-satunya tempat seumpama itu, malah Osuari Brno mempunyai koleksi tulang-temulang lebih banyak iaitu 50,000.


Share:

Isnin, 27 Julai 2015

UFO KERAP SINGGAH DI MALAYSIA?


SINAR HARIAN – Seorang pengawal keselamatan mendakwa terlihat objek terbang tidak dikenali (UFO) dan merakamkannya dengan telefon bimbit sebelum ia hilang.

Mahmood Hamid, 65, mendakwa, ternampak pemandangan matahari terbenam luar biasa ketika melalui jambatan menghubungkan Pinang Tunggal Kedah dengan Pulau Pinang, kira-kira jam 7 malam kelmarin.

"Cahaya itu nampak cantik, jadi saya rakamkan gambarnya. Lepas itu, bila dongak semula, saya nampak ada objek macam piring terbang di lokasi sama," katanya.

Menurutnya, disebabkan tidak bersedia dia hanya sempat mengambil gambar bahagian tepi objek.

Objek ini sangat besar, menutupi jambatan dan sungai. Seakan tak percaya dengan apa yang saya nampak.

"Saya pernah dengar cerita mengenai UFO dan sangka ia sekadar dongeng atau rekaan fiksyen. Tapi, bila lihat dua gambar yang saya ambil, objek itu memang wujud," katanya.

Katanya, terdapat dua corong udara pada objek itu.

"Satu daripada corong itu hasilkan kabus warna ungu yang sangat cantik," katanya.

Sementara itu, Arifin Azin, 53, turut mendakwa pernah melihat objek sama ketika usianya lima tahun di Kampung Pengkalan Semeling tidak jauh dari Sungai Merbok.

"Objek setinggi 0.5 meter itu datang dekat hingga saya cuba untuk tangkap. Tapi tak berjaya dan ia hilang di kawasan hutan," katanya.

Rakan mereka, Md Shah Ismail, 59, yang membuat rujukan di laman sesawang menjumpai beberapa contoh rujukan maklumat seperti UFO yang dipaparkan.

Berdasarkan bahan bacaan yang ditemui, lebih 140 kes kemunculan UFO di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 30 tahun sekitar 1981 hingga 2008.

"Tanjung Sepat dan Sungai Petani antara lokasi paling kerap ia muncul,” katanya.
Share:

Khamis, 23 Julai 2015

300 OBJEK SEPERTI KUIL BOROBODUR DI TEMUI DI TANJUNG BALAU


KOTA TINGGI - Lebih 300 objek misteri yang menyerupai ukiran pada kuil Borobodur, di Jawa Tengah, Indonesia ditemui di atas batu di pantai Tanjung Balau dekat sini semalam.
    
Sesetengah penduduk setempat berkata objek dalam pelbagai warna itu digunakan untuk membuang ancak atau persembahan kepada makhluk halus.
    
Penolong Kurator Muzium Nelayan Tanjung Balau, Muhammed Iqbal Rosli berkata beliau menyedari kewujudan objek itu ketika mengiringi wakil kerajaan negeri ke lokasi tersebut.
    
Beliau berkata ia secara tidak langsung telah mengganggu pemandangan geologi di Tanjung Balau yang sedang diwarta sebagai kawasan sejarah.
    
"Kami tidak tahu siapa yang meletak objek-objek itu dan upacara yang dijalankan sama ada ia merupakan proses pemujaan atau ritual sesebuah agama.
    
"Pihak kami juga tidak mengalihkannya sebab ia terlalu banyak dan bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangkakan. Bagaimanapun jumlahnya semakin berkurangan kerana dibawa air pasang," kata Muhammed Iqbal.
    
Beliau berkata pengunjung jangan mendekati objek tersebut dan menyentuhnya kerana khuatir akan memudaratkan kerana belum dikenal pasti bahan yang terkandung padanya.
    
“Namun kita difahamkan ia merupakan upacara tahunan agama namun tidak tahu agama apa dan kita masih siasat perkara ini,” katanya.
     
Sementara itu Kadi Daerah Kota Tinggi, Mohd Fauzi Bachok berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada ia turut melibatkan masyarakat Islam. 
Share:

Ahad, 19 Julai 2015

ROH MANUSIA KUKUHKAN ISTANA HITAM DI JEPUN?


MATSUE Castle atau Istana Hitam yang dibina pada tahun 1611 dilaporkan merupakan salah sebuah binaan tertua di Jepun.

Tidak seperti kebanyakan istana lain di Jepun yang musnah atau rosak akibat peperangan, istana lama ini merupakan salah sebuah istana  yang masih tersergam kukuh di tempatnya.

Namun ada rahsia di sebaliknya.

Walaupun sering menjadi tarikan pelancong, siapa sangka istana keenam tertua di Jepun ini menyimpan 1001 misteri semasa pembinaannya.

Menurut legenda Istana Hitam, pembinaan istana tersebut yang dikatakan bermula sejak tahun 1607 telah menjadikan seorang gadis sebagai korban bagi mengekalkan kekuatan binaan istana.

Hitobashira atau ‘Tiang manusia’ adalah kepercayaan lama yang diamalkan oleh masyarakat zaman dahulu kala.

Masyarakat zaman dahulu percaya bahawa pembinaan tersebut akan menjadi lebih kuat dan kukuh sekiranya manusia ‘ditanamkan’ di dalam tiang atau dinding binaan.

Sebuah portal melaporkan, dengan ‘menanam’ manusia ke dalam setiap dinding dan tiang, mereka percaya bahawa pembinaan  tersebut mendapat keberkatan daripada tuhan-tuhan mereka dan apa yang dibina akan kekal dan tahan dari kerosakan.

Bagaimanapun, binaan yang mengamalkan kepercayaan ini dikatakan dihantui oleh manusia yang ‘diabadikan’ dalam tiang dan dinding.

Berbalik kepada legenda Istana Hitam ini, sejarah mengatakan seorang gadis telah ditanam hidup-hidup di dalam dinding istana semasa pembinaannya.

Pada masa itu, kontraktor binaan yang dikatakan mencari gadis yang sesuai untuk dijadikan korban menjumpai seorang gadis yang sedang menari di sebuah festival.

Mereka kemudiannya memukul dan menculik gadis itu sebelum menanamnya hidup-hidup dalam dinding istana.

Gadis tersebut yang namanya tidak pernah direkodkan, dianggap sebagai korban kepada istana; dan pengorbanannya adalah untuk memastikan istana kekal utuh dan stabil.

Khabarnya, gadis tersebut merupakan gundik diraja Matsue yang sangat cantik dan gemar menari.

Setelah istana tersebut siap dibina, pihak diraja mengeluarkan larangan ke atas mana-mana gadis untuk menari di jalanan di Matsue kerana istana tersebut akan mengalami gegaran setiap kali gadis menari di jalanan.
Share:

Khamis, 9 Julai 2015

MULAKAN PERJALANAN ANDA DENGAN DOA


Seorang Ustaz berkata, makhluk halus sememangnya wujud dan sudah menjadi sebahagian tugasnya untuk mengganggu, menggoda, menghasut dan melalaikan manusia.

Katanya, sepertimana manusia, makhluk halus juga mempunyai sifat dendam apatah lagi apabila tempatnya diganggu oleh manusia.

“Jadi bila berlaku keadaan ini, mereka juga akan bertindak balas, boleh jadi kemalangan yang berlaku disebabkan gangguan, namun faktor utama pastilah disebabkan kecuaian kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata, agama Islam menganjurkan agar setiap umatnya sentiasa membentengi diri daripada gangguan seumpama itu.

Antaranya, amalkan membaca ayat kursi pagi dan petang, memulakan doa menaiki kenderaan.

“Ada sesetengah kita ambil ringan soal doa ketika menaiki kenderaan tanpa kita tahu sebenarnya doa itu senjata yang boleh digunakan untuk mengubah takdir kita,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, setiap musibah yang diturunkan mempunyai hikmahnya.

Katanya, insiden sama ada membabitkan kematian atau kecederaan merupakan ujian kepada individu dan ahli keluarga itu sendiri.

“Boleh jadi ianya kaffarah dosa atau ALLAH nak bagi pahala dan tinggikan makam kita,” katanya.


DOA MENAIKI KENDERAAN (RUMI)
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØ­ْÙ…َÙ€ٰÙ†ِ الرَّØ­ِيمِ
سُبْØ­َانَ الَّØ°ِÙ‰ سَØ®َّرَ Ù„َÙ†َا Ù‡َÙ€ٰØ°َا ÙˆَÙ…َا ÙƒُÙ†َّا Ù„َÙ‡ُ Ù…ُÙ‚ْرِÙ†ِينَ (13) ÙˆَØ¥ِÙ†َّØ¢ Ø¥ِÙ„َÙ‰ رَبِّÙ†َا Ù„َÙ…ُنقَÙ„ِبُونَ (14)
"Subhanallazi Sahharolana Haza Wama Kunnalahu Mukrinin, Wa Inna Ila Rabbana Lamunqolibuun.."

Maksudnya : Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. (Az-Zukhruf : 13-14)
Share:

Rabu, 8 Julai 2015

HARBINGER DOWN VS THE THING


Ketika kebanyakan produksi filem menggunakan kesan khas imej janaan komputer (CGI) untuk menghasilkan karya lebih berkualiti, Amalgamated Dinamics Inc (ADI) memilih cara tradisi untuk filem Harbinger Down yang mengisahkan mengenai makhluk asing.

Penggunaan kaedah itu berikutan ADI yang menyediakan kepakaran animatronik dan solekan prostetik mendapat sokongan daripada peminat selepas hasil kerja asal produksi terbabit dalam filem The Thing pada 2011 digantikan dengan CGI.

Filem Harbinger Down mengisahkan haiwan kecil yang dimutasikan menyerang manusia selepas ditemui beku dalam ais oleh sekumpulan penyelidik.

Karya sains fiksyen ini ditulis serta diarahkan Alec Gillis dan menampilkan barisan pelakon, Lance Henriksen, Camille Balsamo, Matt Winston dan Reid Collums.

Ia mula ditayangkan di negara ini mulai esok.

Menceritakan pembikinan Harbinger Down, Gillis menjelaskan impian menghasilkan filem daripada idea sendiri tercapai selepas klip video di sebalik tabir The Thing yang dimuat naik di YouTube menerima komen positif daripada penonton di seluruh dunia.

“Berikutan sokongan hangat penonton, saya dan penerbit Tom Woodruff kemudian berkongsi hasil kerja kreatif kami di YouTube,” katanya.

Menurut Gillis, kempen mengumpul dana bagi menghasilkan filem Harbinger Down dilakukan dan berjaya mengutip RM1.45 juta.

“Peminat merasakan makhluk yang dihasilkan menggunakan CGI kelihatan kurang meyakinkan.

“Makhluk dalam filem ini bukan dihasilkam dengan CGI dan Harbinger Down adalah projek cereka sains paling tinggi dalam sejarah yang dibiayai Kickstarter,” katanya.

Gillis berkata, Harbinger Down mempunyai nilai pengeluaran jauh di luar jangkauan kebanyakan filem bajet sederhana.

“Set tanah perkuburan kapal terbang di Mojave digunakan dalam penggambaran. Saya turut bekerjasama dengan pembina set penggambaran untuk menghasilkan persekitaran dalaman bagi kapal nelayan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai penggambaran filem Harbinger Down, Gillis berkata, beberapa ilusi mudah dan berkesan dicipta menggunakan kamera.

“Bagi menghasilkan wap nafas di suasana sejuk, pelakon menghisap rokok elektronik yang mengandungi minyak sayuran dan teknik ini mewujudkan suasana seperti di Lautan Artik.

“Malah, skrin hijau turut disediakan dan set penggambaran seolah-olah berada di lokasi sebenar membuatkan pelakon dapat menjiwai watak mereka, seterusnya menghasilkan lakonan yang lebih baik,” katanya.

Pengarah itu berkata, miniatur memainkan peranan penting dan produksi menyediakan kapal dalam pelbagai saiz, laut, gunung ais yang runtuh dan makhluk kecil.

“Produksi di Hollywood mungkin lebih menggemari meng­gunakan CGI, tetapi pasukan Harbinger Down memilih sentuhan PFX yang realistik.

“Filem itu menggunakan pengubahan digital, suar kanta, salji dan pergerakan tambahan pascakamera. Gred warna menambahkan patina akhir untuk imej, menjadikan persekitaran semakin suram sambil cerita itu berkembang,” katanya.

Katanya, dia berdepan cabaran untuk mengubah sebuah gudang kepada lokasi kapal memancing ketam yang terperangkap dalan ribut di Laut Bering.

Skrip filem itu diilhamkan Gilis ketika berada di Perpustakaan Awam Calabasas manakala penggambaran filem itu berlangsung di Chatsworth, California.

“Falsafah saya ialah untuk memberi kesan seram, jika anda mahu ia kelihatan benar, maka ia perlu nyata. CGI ha­nya boleh digunakan untuk meningkatkan kesan praktikal ,” katanya.

Pernah menghasilkan filem seram hebat Tremors dan Aliens and Predator, Gillis berkata, penulis dan pengarah tidak boleh bergantung kepada CGI sepenuhnya untuk memberikan keterujaan dan keseronokan kepada penonton.

“Harbinger Down bertujuan untuk menarik penonton menghayati suasana yang realistik. Kematian setiap watak di dalam filem ini akan membuat penonton merasakan sesuatu.

“Kami bernasib baik kerana semua pelakon berbakat dan memiliki watak unik selain mereka menyokong pembikinan filem ini,” katanya.

Share:

Jumaat, 3 Julai 2015

[EKSKLUSIF] KETAHUI KISAH SEBENAR MONA FANDEY SEBELUM DIA DI GANTUNG SAMPAI MATI


Anda kenal dengan nama Maznah Ismail atau lebih mengenalinya dengan nama Mona Fandey?

Kisah Mona menjadi tumpuan di akhbar sejak tahun 1993. Bahkan, ia semakin rancak diperkatakan ramai apabila satu persatu kegiatan jahat pasangan bomoh, Mona dan Affandi sewaktu hidup ketika dahulu didedahkan.

Namun, pernahkah anda terfikir sejauh mana kesahihan cerita yang disebarkan itu?

Adakah anda berani meletakkan jaminan seratus peratus bahawa memang ternyata Mona mati di tali gantung dengan keadaan mengerikan? atau anda lebih percaya pada versi cerita yang kononnya Mona tidak mati biarpun dia telah digantung?

Sejauh mana keyakinan orang ramai percaya 1,001 versi cerita mengenai bekas banduan terakhir di Penjara Wanita Kajang itu?

Membongkar kembali kisah benar Mona di penghujung hidupnya, wartawan Malaysian Digest berjaya menjejaki pegawai penjara yang berpengalaman bertugas di sel akhir Mona sewaktu dia dipenjarakan dahulu.

Satu temubual eksklusif bersama Pegawai Penjara Wanita Kajang, Sarjan Azizah, diatur untuk mendedahkan kepada semua masyarakat Malaysia perihal kehidupan bekas banduan akhir yang selama ini menjadi rahsia hidup wanita berusia 53 tahun itu.

Azizah sedia berkongsi kepada umum sisi-sisi rahsia Mona yang mana dia merasakan satu kenangan manis buat dirinya sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai warden penjara.

“Masa itu saya sedang bercuti tetapi saya dah tahu yang Mona bakal ditempatkan di sel akhir bawah jagaan saya. Kes dia memang cukup gempar pada waktu itu.

"Saya sangat takut apabila dapat tahu saya akan berjumpa dengan Mona sampaikan saya minta air penawar dekat ustaz,

“Sel akhir Mona berada paling depan sekali dan tentulah dia orang pertama yang akan saya lalui dulu. Waktu saya melangkah masuk pada hari pertama selepas bercuti, saya dengar ada orang bagi salam.

"Saya tahu itu Mona. Saya buat tak tahu. Hari kedua dan ketiga pun, saya dengar Mona beri salam lagi tapi tetap saya buat tak tahu,

“Pada hari keempat apabila dia bagi salam, baru saya jawab salam dia. Mona kata antara ramai-ramai staf di penjara, dia paling suka saya. Saya tanya kenapa? Dia jawab gerak hati.

"Saya tak pernah sangka seumur hidup saya, dengan ‘salam’ yang diberikan Mona itu telah menjadikan dia seorang sahabat saya,” katanya.

Tambahnya, Mona merupakan seorang yang sangat gemar berbual. Tidak pernah kering dengan topik perbualan membuatkan Azizah berasa sangat senang mendengar cerita-cerita daripada Mona.


Malah, Mona sangat suka bercerita mengenai anak-anaknya, bekas suami, suami kini, resepi masakan dan banyak lagi.

Hanya Azizah sahaja yang ketika itu tidak gentar bersua muka dan bertentang mata dengan wanita yang dikatakan memiliki ilmu kesaktian luar biasa itu.

Kebanyakkan kakitangan penjara ketika itu, rata-ratanya berusaha untuk mengelak daripada menguruskan rutin harian Mona kerana bimbang dengan ‘ilmu hitam’ dimilikinya.

“Saya panggil Mona ‘Makcik’ dan dia panggil saya ‘Cik Jah’. Percaya atau tidak, Mona ni sebenarnya seorang wanita yang sangat menjaga solat lima waktu.

"Bukan itu saja, solat sunat dan wirid juga tidak pernah ditinggalkannya, Setiap hari saya dengar Mona mengaji al-Quran sehingga saya sendiri rasa terpegun.

"Waktu dia baca wirid pula, saya pernah minta dia kuatkan suara kerana saya bimbang dia membaca bacaan yang ‘salah’. Apa yang saya dengar adalah perkataan ‘Subhanallah’ yang tidak berhenti keluar dari mulut Mona, 

Sarjan Azizah (kiri) bersama Mona Fandey

“Mona seorang wanita yang sangat sopan apabila bercakap. Dia sangat peramah tetapi masih menjaga adab dalam percakapannya. Sebaik-baik Mona apabila berbual, tidak pernah sekalipun dia bercakap buruk mengenai orang,

“Walaupun pada ketika itu kakitangan penjara ramai yang mengatanya tetapi Mona sangat sabar dan positif. Tak pernah dia nak membalas atau memburukkan orang,

“Mona sangat suka berkongsi resepi masakan dengan saya. Dia kata dia suka letak daun pandan dalam masakan sebab akan jadi wangi. Saya nampak dia seorang yang penyayang dan ikhlas,” katanya.

Pernah beberapa kali Azizah terbaca cerita mengenai Mona di akhbar seperti, Mona terapung di dalam sel, Mona boleh membaca Surah Al-Fatihah dengan terbalik, Mona dilihat keluar dari sel oleh salah seorang kakitangan penjara dan bersiar-siar di Chow Kit dan banyak lagi.

Demi mendapatkan kepastian, Azizah akan terus bertanya kepada Mona mengenai cerita-cerita mistik yang dibacanya.

“Saya suruh Mona apungkan badan dia macam dalam suratkhabar laporkan. Mona kata gila ke apa? Mana dia boleh apungkan diri dia.

"Kemudian saya suruh dia baca Surah Al-Fatihah terbalik. Mona jawab, sedangkan nak baca bismillah terbalik pun susah apatah lagi Surah Al-Fatihah,

“Paling menarik, saya pernah tanya pada Mona betul ke dia keluar sel dan ke Chow Kit? Mona jawab, kalau dia boleh keluar sel buat apa dia nak ke Chow Kit? Baik dia balik ke rumah dan tak perlu masuk ke dalam sel lagi.

"Namun, apabila kita fikirkan balik, apa yang dikatakan Mona itu benar. Kalau betul dia ada kuasa yang boleh memboloskan diri dari penjara, lebih baik dia pulang ke rumah dari ke Chow Kit,” seloroh Azizah sambil tersenyum.

Seketika Azizah terdiam, kemudian menyambung semula ceritanya.

Dia akui terdapat satu cerita di sebalik kes ini yang tidak diketahui umum. Barangkali yang tahu sekalipun, mereka yang terlibat secara langsung sepanjang tempoh perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan ini.

Ujarnya, Mona sering meyakinkannya mengenai kejadian sebenar yang berlaku pada tarikh pembunuhan ahli politik itu dan Azizah akui pada awalnya sukar untuk mempercayai kata-kata Mona.

Namun, ternyata Mona berjaya membuktikan kepada Azizah bahawa dia tidak menipu kerana kenyataannya di penjara dan mahkamah begitu konsisten sekali. Tiada perubahan cerita, tiada perubahan fakta. Mona kelihatan begitu tenang menghadapi perbicaraan kesnya itu.

Tahukah kita semua bahawa sebenarnya Mona bukan suspek utama kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris?

Dia merupakan OKT-3 (Orang Kena Tuduh Ketiga) manakala dalang sebenar kes pembunuhan ini adalah OKT-1 dan OKT-2 yang merupakan suami Mona sendiri, Affandi dan pembantu peribadi mereka, Juraimi.



Hakikatnya, pada hari kejadian mangsa dibunuh kejam Mona sekadar mendapat arahan daripada Affandi untuk keluar memetik bunga sebelum satu upacara mandi bunga bersama mangsa dijalankan.

Mona duduk di atas bahagian kepala mangsa yang berada dalam posisi baring kemudian secara tiba-tiba Juraimi meluru masuk dan... (Azizah terdiam)

“Saya berada sepanjang prosiding mahkamah berlangsung kerana atas permintaan Mona sendiri, dia tidak mahu pegawai lain yang mengiringinya.

"Jadi, tangan saya akan digari bersama tangan Mona ke mana sahaja. Mona telah membuktikan dia bukanlah dalang dalam kejadian ini. cuma silapnya Mona berada di tempat kejadian. Dia tidak bersalah sebenarnya. Hakim telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap OKT-1, OKT-2 dan OKT-3. Peguambela Mona tidak berputus asa dan telah membuat rayuan,

"Hakim mempertimbangkan perkara itu kerana Mona hanya OKT-3 dan Mona boleh dibebaskan. Peguambelanya memujuk Mona untuk pulang bersama anak-anak yang sedang menantinya. Ujar Mona,  jika dia dibebaskan, dia mahu Affandi juga dibebaskan. Jika suaminya digantung, biarkanlah dia digantung bersama Affandi,

" Itu pilihan Mona. Dia nak bersama suaminya. Saya nampak Mona seorang isteri yang sangat baik dan sayangkan Affandi. Secara jujurnya, selama saya menjaga Mona di sel akhir saya sendiri gagal menemui kejahatan dari dalam dirinya,

“Saya masih ingat satu cerita dimana orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan jenazah Mona selepas digantung menyatakan dia sendiri tidak tahu dimana nak mencari cacat cala pada jenazahnya kerana Mona meninggal dengan keadaan sangat baik. Tubuh yang bersih dan mudah diuruskan,” ujarnya lagi.


Menariknya, bekas suami Mona yang juga merupakan seorang anggota polis tidak pernah terlepas daripada menghadiri perbicaraan kes bekas isterinya itu. Kehadiran bekas suami Mona tanpa jemu ke mahkamah membuatkan Azizah tertarik untuk mendekati lelaki itu.

Apa yang mengharukan hatinya apabila bekas suami Mona menjawab:

‘Mona nak bunuh semut pun tak sampai hati. Waktu nak siang ikan pun dia menangis, apatah lagi nak kerat manusia."

Bahkan, anak-anak Mona juga sentiasa hadir dalam perbicaraan ibu mereka sebagai tanda memberi sokongan kepada Mona. Anak-anak Mona pernah menyatakan bahawa mereka lebih mengenali siapa ibu mereka yang sebenar.

Disitu Azizah mengakui Mona merupakan seorang ibu yang berjaya membentuk keperibadian serta akhlak yang tinggi dalam diri anak-anaknya.

Mereka sangat mentaati Mona biarpun ibu mereka itu bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati dan menelan stigma masyarakat kita yang sentiasa negatif sehingga ke hari ini.

Kerana cintakan suami, si isteri mengorbankan kebebasannya biarpun sudah terbukti tidak bersalah. Begitu juga, kerana kasihkan suami, Mona memilih untuk sehidup semati di tali gantung bersama Affandi.

“Saya pelik macam mana orang luar yang tak pernah masuk penjara, tak pernah jumpa Mona atau menguruskan halnya selama dia dipenjara, lebih banyak bersuara seperti mengetahui segala-galanya berbanding saya yang bersama Mona siang dan malam?

"Saya sampai tarik kerusi duduk depan sel Mona untuk teman dia berbual, orang lain lagi mengetahui selok belok hal Mona?

“Benda yang paling saya sedih sekali, sehari sebelum Mona digantung saya nampak dia dibawa turun dari tingkat atas ke bawah. Muka dia nampak ceria sangat. Senyum tak sudah! Saya tanya Makcik nak kemana?

"Mona jawab dia nak pergi 'shopping'! Sebenarnya, dia dapat jumpa Affandi dipenjara sebelah, Sampai pusing di 'corner' bangunan, saya nampak dia toleh dekat saya dan tersenyum biarpun kedua tangannya bergari.

"Saya sendiri terlupa hari itu adalah hari Khamis, dimana banduan beragama Islam akan digantung pada pagi Jumaat. Itupun kawan saya yang juga baik dengan Mona beritahu, Mona dah nak digantung esok, 

“Saya terduduk dan menangis tak berhenti. Itulah kali terakhir saya jumpa Mona dan saya sampai sekarang tak dapat lupa senyuman dia. 


"Kalau saya tahu dia akan digantung, tentu sekali perkara yang nak saya buat adalah memeluk Mona. Saya kenal siapa Mona Fandey. Saya terlalu rindukan dia,” katanya dan pada saat itu Azizah menitiskan air matanya.

Ujarnya, Mona tidak seperti banduan akhir yang lain. Keikhlasan yang ada dalam diri Mona benar-benar dapat dirasai Azizah. Kenakalan Mona yang sering mengusik kakitangan penjara yang lemah semangat dan gemar mengatanya kadang kala membuatkan Azizah tersenyum sendirian tatkala teringatkan kenangannya menjaga sel akhir Mona.

Sehingga hari ini, Azizah tetap setia menyimpan kenangan manis bersama seorang wanita yang amat ‘digeruni’ rakyat Malaysia dan ‘kononnya’ pembunuh paling kejam di Malaysia.

Biarpun berstatus banduan akhir yang telah digantung, Mona tetap mempunyai ruang istimewa di hati Azizah dan dia percaya Allah lebih mengetahui dimana kedudukan yang selayaknya buat insan semurni Allahyarhamah Maznah Ismail.

Ternyata setiap manusia tidak terlepas dari membuat kesilapan sewaktu hidup. Bahkan, urusan pahala dan dosa bukanlah selayaknya diadili oleh manusia lebih-lebih melibatkan aibnya sewaktu hidup.

Memetik kata Ustaz Abdul Rasyid yang sudah berpengalaman lebih tiga dekad mengendalikan hal ehwal agama banduan:

"Alhamdulillah, Mona mengucap dengan fasih siap dengan terjemahan sekali. Pada sayalah, dia tahu waktu dia nak mati. Balasan dunia dia dah terima. Dengan Tuhan, kalau Tuhan terima taubat dia, mungkin dia jauh lebih baik dari kita semua." – Sumber Arkib Negara : Mona Fandey.

Apakah dengan tulisan ini mampu mengubah stigma anda pada wanita bernama Mona Fandey supaya diletakkan dalam ruang yang adil berdasarkan kebaikannya sewaktu hidup dahulu?

Atau anda lebih selesa untuk terus memahami ‘cakap-cakap’ orang mengenai kejadian yang berlaku kerana sudah dididik dengan ‘trend’ bahawa Mona Fandey adalah pembunuh paling kejam di Malaysia?


Terima kasih kepada Malaysian Digest kerana memberi kebenaran kepada kami untuk berkongsi artikel ini bersama peminat.Al fatihah dan semoga rohnya (mona fendy@maznah ismail) dicucuri rahmat.

*Cerita ini adalah eksklusif dan hak milik Malaysian Digest sepenuhnya.
Share:

KEMALANGAN MAUT LPT2 ANGKARA UNSUR MISTIK?


DUNGUN - Lebuhraya Pantai Timur  Fasa II (LPT 2) yang dibina sememangnya menjadi satu kemudahan kepada pengguna jalan raya tetapi kini lebuh raya itu digelar 'lebuh raya maut' berikutan banyak kes kemalangan dilaporkan sejak ianya dibuka.

Dalam sebulan pasti berlaku satu kemalangan bermula susur masuk Paka sehinggalah ke Kuala Dungun dan Bukit Besi serta seterusnya menuju Ajil,  sama ada meragut nyawa atau tidak.

Rata-rata penduduk sekitar mengakui LPT2 memudahkan perjalanan mereka, tetapi bimbang dengan statistik kemalangan yang tinggi walaupun baru tujuh bulan digunakan.

Seorang pengawal keselamatan, Awang Long Mohd Yusof, 40, berkata, sepanjang dia bekerja di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Besi, memang banyak kemalangan yang berlaku di lebuh raya itu.

Malah beliau mengakui pernah menyaksikan sendiri kemalangan yang berlaku di hadapan matanya.

Menurutnya, pelbagai sebab diandaikan menjadi punca kepada kemalangan itu termasuk sikap pemandu dan struktur jalan.

“Kalau diperhatikan, kita boleh nampak keadaan jalan raya di LPT 2 ni tak berapa elok dan tidak rata.

“Apabila hujan, air menyebabkan jalan licin dan air bertakung di beberapa lokasi," katanya.

Menurutnya, kadang-kadang haiwan ternakan seperti lembu sering berada di kawasan jalan dan dibiarkan berkeliaran.

“Apabila fikirkan banyak benar kemalangan di sini, saya nak pergi kerja pun takut guna LPT2 tapi terpaksa kerana saya cari rezeki di sini,” katanya.

Menurutnya, unsur mistik juga banyak diperkatakan penduduk yang mendakwa turut menjadi penyumbang kepada kemalangan maut.

“Memanglah ada dengar orang bercerita perkara mistik yang jadi punca kemalangan tetapi saya tak tahulah betul ke tidak.

“Ada pengguna sering pandu laju dan ia memanglah sangat berbahaya bukan saja kepada diri sendiri, malah juga orang lain," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat mengkaji semula struktur jalan raya dan menambah baik supaya kejadian kemalangan dapat dikurangkan.

Penduduk, Aida Rudiana Ismail, 34, pula berkata, kebanyakan kemalangan maut yang berlaku adalah melibatkan orang luar dan mungkin mereka masih tidak mengetahui selok-belok keadaan jalan di situ.

“Boleh dikatakan saban minggu ada saja kemalangan. Ada yang maut dan ada juga yang hanya cedera ringan. Sedikit sebanyak masalah ini membuatkan kita yang tinggal di kawasan sekitar bimbang," katanya.
Share:

Khamis, 2 Julai 2015

IMEJ KAABAH DI BATU AKIK


Jakarta: Penduduk di Parigi Moutong di Sulawesi Tengah gempar selepas menemui batu akik yang didakwa mempunyai imej Kaabah dan orang tawaf.

Imej itu ditemui sekumpulan penduduk yang memotong satu batu akik jenis King Marantale yang ditemui mereka Jumaat lalu.

Pegawai daerah Parigi Moutong, Samsurizal Tombolotutu berkata, selepas batu akik itu dibelah penduduk terkejut melihat imej Kaabah berkenaan.

“Ada yang menangis sambil mengucapkan Allahu Akbar beberapa kali apabila melihat imej di dalam batu akik berkenaan,” katanya.

Ujarnya, batu akik itu telah dibawa ke pejabat daerah di Kota Parigi untuk disimpan.

“Saya berharap dengan penemuan batu akik ini akan menambahkan keimanan penduduk kepada Allah,” jelasnya.

Menurutnya, batu akik itu akan dipamerkan dalam festival pada September depan yang akan dihadiri Presiden Joko Widodo.

Festival itu akan mempamerkan produk tempatan termasuk batu akik yang menjadi produk utama wilayah berkenaan.

Share:
PAGparanormal Malaysia ©. Dikuasakan oleh Blogger.
BLOG INI MEMAPARKAN KISAH-KISAH ANEH, PELIK, MISTERI DAN FENOMENA PARANORMAL
Official Blog Of 'PAGparanormal Malaysia' known as Pengembaraan Alam Ghaib Crew or Journey To The Unknown Crew

Attention!! Many paranormal investigators believe there are real dangers of a spiritual nature that ghost hunting groups should be aware of.It seems that ghost hunting has become quite a popular endeavor over the last several years. Whether it be a historic location, public venue or a private residence, what could be more exciting than going to a supposed haunted location to seek out the paranormal? Some people say cemeteries are very notorious for sightings of spirits, and many people hoping to get a thrill by going to such places to catch a glimpse these spirits, ghosts or entities.

(When we are investigating, we are always looking out for causes for the activity; but we should always be on alert for dangers that are present around us, both seen and unseen). PAGparanormal Malaysia ©


KNOWING US

Propellerads

Total Pageviews

Facebook Followers

Rakan Blog