Himpunan kisah-kisah aneh, misteri, seram dan fenomena paranormal yang berlaku di seluruh pelusuk dunia termasuk di Malaysia. Disediakan Oleh PAGparanormal MALAYSIA

Rabu, 25 November 2015

AKTIVITI PARANORMAL DI RAKAM OLEH PENGHUNI HOTEL


Seorang penginap di hotel terbabit telah berjaya merakam satu kejadian aneh yang dianggap oleh pengkaji paranormal sebagai `fenomena aktiviti paranormal`. Kejadian pelik itu disahkan oleh perakam yang bernama Doug.

Pada mulanya dia merasakan ianya litar pintas, namun setelah di teliti dengan betul dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada hotel terbabit. Beliau pun terus mengambil kamera untuk merakam apa yang sedang berlaku.

Kelihatan seperti di dalam filem, katanya. Lampu terbuka dan tertutup seperti dalam filem hantu dan filem seram. Doug pun memberanikan diri untuk terus merakam fenomena terbabit.

VIDEO RAKAMAN AKTIVITI PARANORMAL
Share:

Rabu, 18 November 2015

MEREKA GELAR IA UFO LOU


PENAMPAKAN objek asing berbentuk segi tiga di langit malam di Melbourne, Australia menarik beribu-ribu perhatian pelayar termasuk pemburu UFO (unidentified flying object).

Melalui sebuah video yang dimuatnaik UFO Lou di YouTube 13 November lepas, UFO berkenaan didakwa sebuah 'struktur mega' (mega structure) yang muncul hanya untuk beberapa saat dan hilang tidak berapa lama kemudian.

"Objek kelihatan statik, muncul selama beberapa minit kemudian hilang. Sangat besar. Saya menggunakan lensa 50mm," kata Lou.

Menurut Dailymail, Lou sentiasa meninggalkan kameranya untuk merakam keadaan langit pada waktu malam dan akan melihat rakaman keesokan harinya.

Majoriti pelayar meluahkan rasa kagum dan menyifatkan rakaman oleh Lou sebagai 'epik' dan unik, selain memberi semangat kepada pemburu-pemburu UFO.

"Ini rakaman yang sangat hebat. Terima kasih atas kerja keras anda dan orang seperti anda mungkin akan berjaya pada masa hadapan," kata Mark.

Oktober lepas, teleskop angkasa Kepler milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara Amerika Syarikat (NASA) telah merakam gejala pantulan cahaya yang ganjil.

Gejala pantulan cahaya yang tidak konsisten telah menyebabkan teori struktur mega mahluk asing menjadi perbualan hangat.

Share:

Selasa, 17 November 2015

KERANDA TOK WAN TERBANG FILEM SERAM TERBAIK?


DALAM sebuah kampung, tinggal seorang bomoh dipanggil Mak Betong yang dipercayai membela saka. Namun, suatu hari bomoh tersebut meninggal dunia dan berlaku kekecohan dari malam bomoh itu meninggal sehinggalah jenazah mahu dikebumikan.

Pelbagai kejadian yang berlaku turut dikaitkan dengan si penggali kubur bernama Tok Wan. Tok Wan mempunyai penyakit pelupa sehingga wujudnya keranda terbang yang menjadi tajuk filem arahan pengarah Hashim Rejab ini.

Filem yang mempersembahkan genre seram dan komedi, Keranda Tok Wan Terbang, terbitan Metrowealth Pictures (MIG), ini bakal menemui penonton pada 10 Disember depan.

Hashim Rejab yang sudah mengarahkan tiga filem seram komedi sebelum ini mengakui filemnya kali ini ada perbezaan daripada filem yang sedia ada. Jelasnya, yang paling berbeza adalah penggunaan watak yang ramai untuk filem tersebut apabila melibatkan penceritaan di sebuah kampung.

Oleh kerana kita menceritakan satu kejadian di sebuah kampung, jadi memang ramai watak perlu kita gunakan bagi mempersembahkan penceritaan yang menarik kepada penonton.

Sebelum ini, filem saya yang berjudul Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa hanya melibatkan watak yang sedikit kerana lokasi pun di dalam rumah sahaja.

“Lagi satu filem saya berjudul Hantu Bungkus Ikat Tepi juga menggunakan watak yang sedikit. Justeru, filem kali ini saya memerlukan watak yang lebih ramai,” katanya.

Pastinya watak yang ramai juga akan menimbulkan satu cabaran baru bagi pengarah ini dari segi cara pengurusannya dan permainan watak yang perlu dijayakan.

Memang sedikit mencabar apabila kita menggunakan ramai watak. Namun, pelakon yang kami pilih semuanya otai-otai belaka dalam lakonan mereka dan berpengalaman baik genre seram dan komedi.

“Oleh itu, segala kerisauan tentang watak setiap pelakon dapat dilakukan sebaiknya tanpa ada masalah besar,” katanya.

Berkongsi pula perihal dialog apabila melibatkan ramai pelakon berpengalaman, Hashim berkata, filem ini tidak terikat dengan skrip semata-mata dan bebas melantunkan dialog secara spontan.

Memang sebagai pelakon otai, mereka sudah tahu jalan ceritanya dan ada kalanya ketika penggambaran, mereka terasa mahu menambah dialog, maka kita akan gunakannya jika bersesuaian.

“Namun, jika dialog itu nampak seperti berlebihan,  kita tidak gunakannya. Semua itu melalui perbincangan terlebih dahulu agar penghasilan filem bukan untuk syok sendiri sahaja. Biasalah, ada kalanya ketika kita buat filem komedi dan seram, ada lawak yang kita rasa sudah kelakar, namun apabila penonton luar lihat, tidak seperti apa kita gambarkan, itu yang perlu kita lihat betul-betul kerana filem ini ada dua genre iaitu seram dan komedi,” katanya.

Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Yassin Yahya, Syuk SYJ, Rahim R2, Mak Jah, Syima Anuar dan Epy Kodiang.

Pilih pelawak terkenal

Menjalankan penggambaran di Sijangkang dan Kuala Lumpur selama 20 hari pada Februari lalu, Hashim memberitahu, idea filem ini tercetus hasil perbincangan dengan pihak produksi.

Daripada idea seorang pihak produksi, idea itu dikembangkan dengan perbincangan penulis skrip dan brainstorming bagi menambah jalan cerita.

“Akhirnya dari idea dan konsep yang kecil menjadi satu naskhah filem yang pastinya merancakkan lagi industri filem tanah air,” katanya.

Setelah terhasilnya skrip, Hashim berkata, langkah seterusnya adalah pemilihan pelakon untuk menggerakkan skrip menjadi satu cerita yang baik.

Pelakon pastinya kami memilih yang sinonim dengan watak komedi antaranya sudah dalam senarai awal adalah Yassin dan Syuk SYJ.

Kemudian, kami mencari lagi pelakon yang sesuai untuk membawakan watak sebagai Tok Wan, Mak Betong dan akhirnya kami memilih Rahim R2 dan Mak Jah untuk membawakan dua watak tersebut.

“Alhamdulillah pelakon yang dipilih memberikan komitmen sangat baik dan bekerjasama dalam membawakan watak  diinginkan,” katanya.

Puji penduduk Sijangkang

Berkongsi juga mengenai pemilihan lokasi iaitu Sijangkang, Hashim berkata, pemilihannya berdasarkan hubungan yang baik sudah terjalin dengan penduduk kampung tersebut sebelum ini.

Oleh kerana filem ini berkaitan dengan satu kampung, jadi kami memilih Kampung Sijangkang. Pemilihannya juga kerana penduduknya sudah kami kenali ketika penggambaran sebuah telefilem sebelum ini.

Apabila sudah kenal, penduduk pastinya faham dengan konsep penggambaran sesebuah filem yang akan menggunakan waktu malam sehingga subuh dengan jerit pekik dan bunyi bising untuk mendapatkan jalan cerita diingini.

Jika kita guna kampung lain yang tidak mengenali kita, mungkin ada antara mereka tidak selesa dengan kehadiran kita yang melakukan penggambaran dari lewat malam hingga awal pagi.

“Biasalah buat filem seram komedi pasti ada babak, menjerit, bising dan ketawa yang mungkin mengganggu sedikit waktu malam penduduk kampung,” katanya.

Filem seram terbaik?

Filem yang dianggarkan menelan kos RM1 juta dalam pembikinannya itu juga diharap akan mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Hashim berkata, memang dia mengetahui situasi sambutan filem kebelakangan ini sedikit suram, namun dia masih punyai keyakinan yang filem tersebut punyai kekuatan untuk menarik penonton menontonnya.

Baru-baru ini filem Polis Evo telah cetus fenomena semula sambutan penonton ke wayang, jadi ia memberikan kita sedikit harapan untuk filem yang lain juga turut mendapat sambutan.

Tetapi pastinya, penonton mahu menonton filem yang ada kualiti dan pembikinannya yang memenuhi kehendak daripada mereka.

"Justeru itu, di harap dengan segala kerja keras yang 100 peratus kami berikan untuk menghasilkan filem terbaik dalam filem saya kali ini,  kami harap penonton dapat menontonnya dan merasai keseronokannya," katanya.

Sebagai pengarah, dia turut melakukan promosi menerusi segala medium termasuk laman sosialnya sendiri.

Pihak penerbit punyai perancangan sendiri untuk mempromosikan filem ini yang saya ketahui baru dimulakan mereka.

Apa yang saya boleh bantu sebagai pengarah pula, adalah promosi di dalam media sosial saya sendiri mengenai filem ini dan alhamdulillah sambutannya sangat baik.

"Begitu juga dengan krew yang lain dan pelakon sendiri, pastinya di pihak mereka akan mempromosikan filem ini dengan cara masing-masing," katanya.

Share:

Isnin, 16 November 2015

KISAH HANTU DEKAT BUS STOP JANJI GELAK SAMPAI PECAH PERUT?


SELALUNYA hantu dikaitkan dengan cubaan untuk membalas dendam, menakutkan orang, merasuk dan juga pelbagai perkara negatif lain.

Namun berbeza dengan filem Ada Apa Dekat Bus Stop (AADBS) terbitan produksi baharu Katak Hijau Entertainment Sdn Bhd, ia mengetengahkan hantu yang baik apabila hantu tersebut mahu membendung gejala sosial di kampung itu.

Boleh disifatkan lain daripada lain, filem arahan Ikhzal Azfarel Ideris ini menampilkan pelakon baharu dan lama seperti Abam Bocey, Myo Oh Chentaku, Tauke Jambu, Airis Jasmin, Zaibo dan Kazar Saisi.

Filem ini mengisahkan tiga sahabat cuba merungkai misteri hentian bas di kampung mereka.

Sebelum ini, hentian bas terbiar itu sering dijadikan tempat melakukan pelbagai aktiviti negatif dan songsang.

Namun, kemunculan hantu Kak Senah buat penduduk kampung takut dan keadaan semakin misteri apabila gadis bernama Maya menaiki bas yang dipandu Abam.

Mengangkat tagline ‘Bila Manusia Lebih Hantu Daripada Hantu’, ia secara tidak langsung sudah memberi bayangan kepada penonton bagaimana perjalanan cerita ini.

Biarpun ia adalah sebuah filem komedi seram, namun pada pandangan penulis, hampir 80 peratus latar cerita ini adalah berkaitan komedi dan babak seram tersebut hanya sebagai selingan sahaja.

Namun persoalan seperti dari manakah datangnya hantu Kak Senah? Kenapa dia muncul? Siapa pula Maya? dilihat banyak menjadi tarikan dan teka-teki kepada penonton untuk sama-sama menyelesaikan misteri yang tercetus.

Begitu juga dengan keletah para pelakon yang cuba sama-sama menyelesaikan misteri yang menyelebungi mereka dan kampung tersebut.

Komedi pecah perut

Tidak hanya keletah para pelakon yang menjadi tarikan di dalam filem ini, pembabitan majoriti pelawak di dalam filem ini juga secara tidak langsung menjadi tarikan utama buat penonton ke pawagam.

Apatah lagi dengan lakonan dan adakalanya dialog spontan yang dikeluarkan menjadikan penonton pecah perut dengan aksi mereka di dalam filem ini.

Tidak keterlaluan untuk penulis katakan bahawa Abam dan Myo berjaya tampil dengan sebuah lakonan yang lain daripada lain dan berkesan.

Secara keseluruhannya, pada pandangan penulis, filem ini adalah sebuah filem komedi seram yang santai untuk ditonton seisi keluarga.

Share:

Khamis, 12 November 2015

KISAH SEORANG LELAKI YANG BERGELAR USTAZ JIN..


“Aku takkan keluar selagi perempuan ini tak mampus” jerit seorang wanita setengah abad membuatkan jantung orang sekeliling yang memerhati berdegup kencang dan sebahagian daripada mereka mula seriau serta meremang bulu roma.

Beberapa lelaki dan wanita terpaksa memegangnya apabila dia mula meronta serta menjerit bagaikan hilang akal.

Bagaimanapun dalam ratusan mata yang memerhati, tiada siapa pun berganjak dari tempat duduk masing-masing dan mereka terus menunggu penuh sabar dan debar.

Bukan pekikan wanita yang kerasukan itu membuatkan mereka terus menanti, tetapi ada perkara lebih penting dihajati iaitu ingin bertemu dengan pengamal perubatan tradisional atau perubatan Islam, Norazman Al-Banjary, 44, dan tujuannya tidak lain tidak bukan ialah untuk menjalani rawatan akibat disihir, mengalami gangguan jin dan saka.

Hebatnya penangan lelaki itu yang lebih popular dengan panggilan 'Ustaz Jin' hingga membuatkan orang ramai sanggup menunggu berjam-jam lamanya dan sebahagiannya juga sanggup menunggu sehingga Subuh.

Hanya dengan bacaan ayat suci al-Quran untuk merawat pesakit yang didakwa terkena gangguan jin, saka, disantau dan pelbagai lagi masalah berkaitan makhluk halus, 'Ustaz Jin' terus menjadi buruan.

Pihak media berpeluang bertemu dengan lelaki berkenaan ketika sesi rawatan yang dijalankan di Kampung Nibong, baru-baru ini, dan merungkai apa sebenarnya keistimewaan bapa kepada lapan cahaya mata itu serta turut menyaksikan sendiri sesi rawatan yang dijalankan secara terbuka.

Pesakit datang dari serata tempat

Norazman berkata, kehadirannya ke Paka bagi memenuhi permintaan ramai dan rawatannya tidak tertumpu di satu-satu tempat sahaja, tetapi sering bertukar lokasi.

Menurutnya, ilmu perubatan yang diamalkan adalah warisan nenek moyang dan menjadi prinsipnya untuk menentang perkara tahyul atau cara yang boleh mendatangkan syirik.

“Sebelum ini saya aktif menjalankan rawatan di Indonesia iaitu kira-kira lapan tahun lalu dan sejak tiga tahun kebelakangan ini, saya berada di Kelantan.

“Pesakit yang datang dari serata tempat di seluruh negara. Walaupun jauh mereka sanggup datang semata-mata untuk berubat dan mahu bebas dari gangguan jin atau sebarang serangan makhluk halus. Atas permintaan ramai sejak beberapa bulan lalu, saya berada di Kerteh dan selepas itu barulah di Paka,” katanya.

Salasilah keluarga beliau di Indonesia dan Melaka memang terkenal dengan rawatan seumpama itu dan beliau merupakan generasi keempat mewarisinya.

Kebiasaannya sesi rawatan bermula selepas Isyak iaitu kira-kira jam 9 malam dan ia berterusan sehingga Subuh, malah masih ramai yang datang tidak sempat dirawat.

400 pesakit setiap malam

Kata suami kepada dua isteri itu, setiap malam tidak kurang 400 pesakit menanti untuk melakukan rawatan, tetapi dengan masa yang ada, tidak semua dapat dipenuhi.

“Saya lakukan rawatan di Paka, tapi yang datang bukan saja penduduk di sini, tapi ada dari negeri lain.

“Walaupun lakukan rawatan secara percuma tapi saya tidak anggap ia satu kerugian dan niatnya untuk bantu masyarakat kerana jika terkena gangguan jin, sihir, saka atau makhluk halus.. bukan sahaja yang terkena menanggung seksa, tapi ahli keluarga lain akan terheret sama.

“Kaedah digunakan memang berbeza dengan bomoh atau pengamal perubatan yang ada membaca jampi serapah atau mantera kerana kekuatan hanya bergantung kepada ayat al-Quran. Apa yang saya amalkan ialah bacaan Al-Fatihah, Ayatul Qursi dan tiga Qul tetapi caranya mestilah betul,” katanya.

Menurutnya, merawat gangguan sebegitu tidak akan hilang sekelip mata dan dengan sekali rawatan ia tidak akan sembuh.

“Masa yang ada banyak dihabiskan bersama pesakit dan dalam sehari saya hanya tidur selama empat jam kerana setiap waktu ada yang menunggu. Saya tak sanggup hampakan mereka,” katanya.

Berhadapan pelbagai kerenah pesakit

Cabaran ketika menjalankan rawatan adalah perkara biasa baginya dan beliau sudah berdepan dengan pelbagai kelakuan pesakit ketika kerasukan.

“Ketika menjalankan rawatan, sekiranya ada gangguan, pesakit akan kerasukan dan mereka boleh bertindak di luar kawalan.

“Sekiranya perempuan, kudratnya boleh melampaui kekuatan lelaki dan perlu dipegang enam atau tujuh orang. Ada yang bersilat, ada mengaum, ada yang bercakap dalam bahasa Siam, Arab, Cina dan pelbagai lagi bahasa yang tidak difahami.

“Ada yang terjerit, terpekik melolong, melompat dan pelbagai lagi, tapi itu bukan perkara pelik bagi saya serta sukarelawan yang membantu.

“Ada juga pandangan negatif daripada segelintir masyarakat membuat fitnah dan tohmahan terhadap kaedah rawatan diamalkan, tetapi apa yang penting niat serta kita percaya kepada ALLAH SWT,” katanya.

Ditanya sampai bila beliau akan terus merantau untuk membantu masyarakat, lelaki itu hanya tersenyum dan menjawab selagi orang ramai memerlukan serta hingga ke akhir nyawa.

“Bila dapat merawat pesakit dan melihat mereka sembuh, saya rasa amat gembira serta bersyukur. Kita perlu berkeyakinan dan yang menyembuhkan adalah ALLAH.

“Kepada yang terkena gangguan, mereka perlu dekatkan diri dengan ALLAH dan jauhkan amalan pemakaian azimat atau tangkal kerana ia satu perbuatan syirik.

“Rawatan yang diberikan tiada pencennya dan saya sentiasa bersedia berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.

Lapan tahun derita disantau

Mereka yang datang untuk bertemu 'Ustaz Jin' mempunyai penyakit dan terkena gangguan berbeza serta salah seorang yang berkongsi kisah derita bertahun-tahun lamanya akibat disantau ialah gadis berusia 23 tahun.

Mira (nama samaran) berasal dari Kota Bharu, Kelantan, sanggup bermalam berhari-hari di Paka semata-mata untuk menjalani rawatan.

Katanya, sejak berusia 15 tahun dia menanggung derita apabila mengalami sakit di bahagian belakang, muntah darah disertai benda asing seperti kaca, paku, rambut dan pelbagai lagi dipercayai akibat disantau.

“Saya sudah berubat di merata-rata tempat, tetapi semuanya hampa dan penyakit dialami semakin teruk. Ada yang bagi tangkal tetapi berbeza dengan Ustaz Norazman kerana dia hanya bacakan ayat-ayat al-Quran dan bagi minum air yang dibaca ayat suci sahaja.

“Saya amat terseksa kerana tidak boleh melelapkan mata dan saban hari terus muntah darah serta dihantui perkara menakutkan.

“Alhamdulillah menerusi rakan-rakan, saya mengetahui rawatan yang dilakukan ustaz dan mula mengikuti perkembangan beliau di laman sosial Facebook," katanya.

Jelasnya, rawatan kali pertama di Kok Lanas menunjukkan perubahan positif dan tidak lagi muntah darah, dia kemudian meneruskan rawatan susulan di Kerteh dan sekarang di Paka.

“Keadaan saya makin sihat dan saya sanggup datang dari jauh semata-mata untuk berubat serta sangat berharap dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

“Saya pernah bertemu doktor tetapi mereka kata saya tidak berpenyakit sedangkan keadaan saya amat menyeksakan,” ujarnya.

Hidup bagai dalam filem seram

Mendengar kisah seorang suri rumah, liza (nama samaran), kita mungkin menganggapnya bohong tetapi itulah kesengsaraan yang perlu dihadapinya.
Katanya, seperti melihat aksi menakutkan di dalam filem seram, begitulah yang dialaminya sejak 13 tahun lalu.

“Saya mengalami pelbagai mimpi buruk dan di dalam nyata pula menyaksikan perkara mengerikan. Tidak ubah di dalam filem seram, ada lembaga berambut panjang dan pelbagai lagi jelmaan menakutkan tetapi lama-lama kelamaan rasa takut semakin hilang.

“Bukan saja melihat lembaga menakutkan, tapi saya turut alami sakit belakang dan kepala keterlaluan malah jika ia menyerang saya tidak boleh lakukan sebarang kerja.

“Dalam tempoh 24 jam saya tidak makan dan minum serta hanya tidur. Bukan saya saja diganggu, anak-anak juga sering melihat lembaga menakutkan di dalam rumah," katanya.

Disebabkan derita ditanggung, katanya, dia turut mencuba nasib untuk menjalani rawatan dengan 'Ustaz Jin' dan setakat ini menunjukkan perkembangan positif dan sakit dialami semakin berkurangan.

Suaminya, Abdullah Abd Ghanu, 51, berkata, sepanjang tempoh 13 tahun merata-rata tempat dia membawa isterinya berubat, malah terpaksa menjual tanah untuk menampung kos rawatan.

“Saya sanggup jual tanah semata-mata untuk bawa isteri berubat dan bila terdengar saja berita tentang pengamal perubatan di mana-mana, memang saya akan pergi.

“Walau merata negeri berubat tetapi penyakit isteri tetap menjadi-jadi dan apa yang saya harapkan menerusi kaedah rawatan dilakukan Ustaz Norazman, ia mampu mengubah kehidupan kami.

“Saya tidak kisah menunggu dari jam10 malam hingga jam 4.30 pagi, asalkan isteri dapat berubat dan selepas beberapa sesi, keadaan isteri nampaknya semakin baik.

“Besar harapan kami supaya tiada lagi gangguan jahat menghantui kehidupan kami sekeluarga dan derita ditanggung isteri akan berakhir,” katanya.
Share:

Jumaat, 6 November 2015

SERING TERLIHAT KELIBAT HANTU DI KAWASAN PEMBUNUHAN?


SERAM: Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Ceroh, lokasi dipercayai tempat pembuangan serpihan tulang dan sisa abu empat mangsa pembunuhan kejam di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Pahang, di sini, sejak kira-kira dua bulan lalu sering diganggu ‘sesuatu’ termasuk kemunculan lembaga di kawasan sungai berkenaan.

Penduduk, Rasinah Mohd Ropik, 25, berkata, dia dan keluarga sejak lebih setahun lalu sering mendapat gangguan dipercayai berpunca daripada sesuatu yang berlaku di bengkel kenderaan terbabit.

Menurutnya, gangguan itu semakin menjadi-jadi sejak hujung Ogos lalu dan apabila kes pembunuhan kejam terbabit terbongkar minggu lalu mengukuhkan lagi sangkaan mereka kawasan kediaman mereka menjadi berhantu disebabkan apa yang berlaku di bengkel berkenaan.

Sejak tahun lalu, terdapat gangguan seperti orang mencakar dinding dan bumbung rumah, ia semakin kerap kebelakangan ini dengan adik saya turut menjadi mangsa apabila jatuh sakit selepas terkejut melihat lembaga seperti lelaki berambut pendek mandi dalam kolam ikan jam 1 pagi di tepi sungai berkenaan yang terletak beberapa meter saja dari bengkel itu.

“Kami memang tidak berani keluar malam atau membuka pintu kerana berasa seram setiap kali melakukannya dan sejak kes ini terbongkar kami menjadi lebih takut,” katanya ketika ditemui, semalam.

Share:

Rabu, 4 November 2015

BEBOLA API HIJAU TURUN DARI LANGIT


THAILAND : Satu bebola api besar berwarna hijau yang dilihat di ruang angkasa Thailand pada malam kelmarin adalah objek dari angkasa yang memasuki atmosfera bumi pada halaju tinggi, kata Institut Kajian Astronomi Kebangsaan Thailand (NARIT) semalam.

Bebola api berwarna hijau itu menjadi viral di laman sosial di Thailand selepas dilihat dan dirakam beberapa penduduk di Bangkok, Rayong, Chon Buri, Chachoengsao, Nakhon Sawan, Khon Kaen, Phitsanulok, Ang Thong dan Chiang Mai.

Pengarah NARIT, Boonraksa Soonthorntham berkata, objek itu sama seperti meteor yang dilihat memasuki ruang angkasa Thailand pada 7 September lalu.

“Bagaimanapun, meteor kali ini mengeluarkan cahaya hijau dan bukannya oren kerana objek ini mungkin mengandungi banyak kromium yang biasa ditemui pada meteoroid,” katanya.

Ujarnya, bebola itu dilihat di banyak kawasan yang menunjukkan objek berkenaan terbakar di atmosfera ketika di altitud sangat tinggi.

“Beberapa jenis objek angkasa seperti serpihan komet atau satelit lama yang jatuh ke bumi boleh menyebabkan fenomena seperti itu,” Jelasnya.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kemungkinan objek jatuh dari angkasa menyebabkan kerosakan atau kecederaan adalah sangat kecil.

“Kami masih melakukan analisis awal mengenai fenomena ini dan masih mengumpulkan maklumat lanjut,” katanya.

Share:

Isnin, 2 November 2015

DAKWA TERLIHAT KELIBAT LEMBAGA ANEH DI KAWASAN KEMALANGAN?


Seorang pengguna lebuhraya LPT2, Ahmad Aziz Jaafar, 37 berkata, dia pernah mengalami gangguan ketika menggunakan LPT2 tetapi tidak mengendahkannya.

Insiden seram juga berlaku kepada rakannya sendiri di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil di awal lebuh raya berkenaan dibuka.

Pernah berlaku ketika saya dalam perjalanan untuk mengambil kawan yang keretanya rosak di LPT2 apabila diganggu dengan siulan menakutkan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi dan ketika saya memandu terdengar siulan di tempat duduk belakang membuatkan saya seriau," katanya.

Menurutnya, bagi menghilangkan bunyi itu, dia memasang radio dengan kuat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran di dalam hatinya.

Apabila tiba di kawasan terang, dia memberhentikan kereta dan memeriksa di bahagian belakang tetapi tiada apa-apa.

Ahmad Aziz turun menceritakan satu lagi insiden menyeramkan iaitu ketika dia bersama rakan berhenti di R&R Ajil.

Menurutnya, ketika itu rakannya menaiki kenderaan bersama isterinya, manakala dia memandu bersendirian.

Ketika di R&R Ajil, saya nampak isteri kawan saya turun untuk ke tandas dan setelah selesai dia naik semula ke kenderaan dan kami bergerak ke rumah masing-masing.

Apabila tiba di rumah rakan di Jerangau Barat, saya keluar dari kereta, manakala isterinya tidak berganjak dari tempat duduknya.

Bagaimanapun, dia mendapat panggilan telefon daripada isterinya dan walaupun agak pelik dia mengangkat dan apa yang mengejutkan si isteri sebenarnya masih berada di R&R Ajil.

“Apabila dilihat di dalam kereta, makhluk yang menyerupai isteri sudah tiada dan barulah dia menyedari yang berada di sebelahnya itu bukanlah isterinya," katanya.

Ahmad Aziz berkata, cerita-cerita mistik memang banyak diperkatakan termasuk ada yang mendakwa nampak lembaga hitam yang besar di atas jejambat.

Menurutnya, memang perkara mistik tidak boleh diketepikan tetapi dia percaya kebanyakan kes kemalangan maut yang berlaku adalah disebabkan kecuaian sendiri.

“Sebagai pengguna kita perlu lebih berhati-hati dan memandu mengikut had laju supaya tidak berlakunya kemalangan meragut nyawa,” katanya.

Lembaga besar di sempadan Ajil-Bukit Besi
Seorang penarik kereta atau “Call Man”, Shamsudian Salleh, 43 berkata, kerjanya sebagai tukang tarik kereta yang mengalami kerosakan akibat kemalangan membuatkannya sentiasa berada di LPT2 dan pelbagai faktor sebenarnya boleh menyumbang kepada kemalangan.

Kisah-kisah mistik yang diperkatakan oleh orang ramai juga bukan perkara asing baginya walaupun tidak pernah mengalaminya sendiri.

Menurutnya, paling banyak tiga kes kemalangan berlaku dalam sehari tetapi kadang-kadang ada juga dalam seminggu tiada kemalangan.

Antara kisah makhluk halus yang popular di kawasan ini ialah kehadiran lembaga besar di sempadan Ajil dan Bukit Besi.

“Satu lagi gangguan mahkluk berambut panjang dan berpakaian serba putih di sekitar Jerangau dan laluan itu memang berlaku kemalangan. Ada juga rakan yang kemalangan selepas terlihat lembaga hitam melintas.

“Bagaimanapun, saya percaya kemalangan yang berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk kehadiran binatang peliharaan seperti lembu dan binatang liar seperti badak, beruang dan tapir,” katanya.

Kubur lama dipindahkan
Biarpun laporan pihak berkuasa menyatakan punca utama berlakunya kemalangan di LPT2 disebabkan kecuaian pengguna, namun isu gangguan makhluk halus tetap menjadi perbualan hangat pengguna serta penduduk.

Malah, ada yang mempercayai unsur-unsur mistik  turut menjadi penyebab pusara di lebuh raya memandangkan satu demi satu kemalangan maut  terus berlaku apatah lagi tragedi berdarah itu terjadi di lokasi kilometer yang hampir sama.

Tragedi meragut lima nyawa termasuk empat daripadanya rentung di Kilometer (KM) 386 pada 24 Mei lalu begitu meninggalkan kesan di hati, selain insiden maut melibatkan seorang peronda LPT, Razali Ishak,44, pada 27 Jun 2014 di KM 415.1.

Kedua-dua kes tersebut turut menjadi viral di laman sosial sehingga ada yang mengaitkan kejadian kemalangan maut melibatkan peronda LPT mempunyai kaitan dengan usur mistik ekoran adanya ‘seseorang’ dalam sekeping gambar diambil orang awam di lokasi kejadian.

Bagi warga emas dari Kampung Peroh, Che Nik Che Wil,71, cerita ada sesuatu yang melintas sehingga dikatakan punca pemandu terbabas antara kisah sering didengarinya dan rata-rata ia berlaku di kawasan hampir sama termasuk satu lokasi dipanggil Bukit Belah.

Pakcik tidak pernah alaminya tetapi sering dengar cerita sama beberapa kali iaitu ada benda melintas lalu menyebabkan pemandu terbabas atau kemalangan. Dikatakan juga adanya kubur lama tetapi telah dipindahkan sebelum projek pembinaan LPT2 dimulakan dulu.

Ketika kerja-kerja pembinaan dilakukan dahulu juga pakcik dengar cerita ada beberapa orang  pekerja meninggal dunia kerana tragedi termasuk kenderaan terbalik. Malah, sewaktu lebuh raya belum dibuka ia telah meragut nyawa seorang penunggang motosikal.

“Daripada cerita didengar, penunggang motosikal itu berasal daripada Felda Jerangau Barat. Mayatnya hanya dijumpai sebelah petang oleh penternak lembu, ketika itu darah yang mengalir telah pun kering. Pakcik difahamkan dia terbabas,” ujarnya.


Share:
PAGparanormal Malaysia ©. Dikuasakan oleh Blogger.
BLOG INI MEMAPARKAN KISAH-KISAH ANEH, PELIK, MISTERI DAN FENOMENA PARANORMAL
Official Blog Of 'PAGparanormal Malaysia' known as Pengembaraan Alam Ghaib Crew or Journey To The Unknown Crew

Attention!! Many paranormal investigators believe there are real dangers of a spiritual nature that ghost hunting groups should be aware of.It seems that ghost hunting has become quite a popular endeavor over the last several years. Whether it be a historic location, public venue or a private residence, what could be more exciting than going to a supposed haunted location to seek out the paranormal? Some people say cemeteries are very notorious for sightings of spirits, and many people hoping to get a thrill by going to such places to catch a glimpse these spirits, ghosts or entities.

(When we are investigating, we are always looking out for causes for the activity; but we should always be on alert for dangers that are present around us, both seen and unseen). PAGparanormal Malaysia ©


KNOWING US

Propellerads

Total Pageviews

Facebook Followers

Rakan Blog